
KUALA LUMPUR, 14 Oktober- Lebih RM22 juta disalurkan kepada 309 institusi pendidikan Islam termasuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf setakat 30 April 2026.
- Peruntukan bertujuan memastikan kemudahan institusi pendidikan Islam berdaftar berada dalam keadaan baik, selamat dan kondusif untuk proses pembelajaran.
- Bantuan tidak disalurkan secara automatik; pihak memerlukan mesti mengemukakan permohonan kepada JAKIM melalui saluran yang disediakan dengan kerjasama pihak negeri.
- Kerajaan memperuntukkan RM200 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi membantu SAR, institusi tahfiz dan sekolah pondok di bawah JAKIM.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata peruntukan itu bertujuan memastikan kemudahan institusi pendidikan Islam berdaftar di seluruh negara berada dalam keadaan baik, selamat dan kondusif untuk proses pembelajaran.
Beliau berkata bantuan berkenaan tidak disalurkan secara automatik kepada setiap institusi.
Sebaliknya, pihak yang memerlukan perlu mengemukakan permohonan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui saluran yang disediakan dengan kerjasama pihak berkepentingan di peringkat negeri.
“Pelaksanaan peruntukan khas ini diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), dengan proses agihan dilaksanakan secara berperingkat dan masih berjalan sehingga kini.
“JAKIM dan ICU JPM menjalankan semakan serta pengesahan mengikut tempoh masing-masing bagi memastikan pengurusan peruntukan dilaksanakan secara teratur dan telus khususnya bagi kerja-kerja berkaitan keselamatan, keselesaan dan keperluan asas pembelajaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Saad @ Yahaya mengenai perkembangan terkini penyaluran bantuan penyelenggaraan dan naik taraf JAKIM kepada SAR bagi 2026.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan memperuntukkan RM200 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi membantu SAR, institusi tahfiz dan sekolah pondok di bawah JAKIM.
Skop bantuan itu turut merangkumi kos operasi institusi, selain kerja penyelenggaraan dan naik taraf bagi memperkukuh pengurusan serta kelangsungan pendidikan Islam.