
KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Sebanyak 1,726 projek perumahan swasta berjaya dipulihkan kerajaan MADANI sehingga Ogos 2026.
- 147 projek dipulihkan daripada status sakit kepada lancar, melibatkan 29,900 unit dan GDV RM40.92 bilion.
- 1,542 projek sakit disiapkan sepenuhnya dan peroleh Sijil CCC, melibatkan 163,621 unit serta GDV RM115.74 bilion.
- 37 projek terbengkalai dipulihkan, manakala tujuh projek terbengkalai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kini dalam pelbagai peringkat.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ia melibatkan hampir 200,000 unit rumah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM158 bilion.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 147 projek berjaya dipulihkan daripada status sakit kepada lancar, melibatkan 29,900 unit rumah dengan GDV setinggi RM40.92 bilion.
“Selain itu, sebanyak 1,542 projek sakit telah berjaya disiapkan sepenuhnya sehingga memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), melibatkan 163,621 unit rumah dengan GDV sebanyak RM115.74 bilion.
“Bagi projek berstatus terbengkalai pula, sebanyak 37 projek telah berjaya dipulihkan, melibatkan 6,122 unit rumah dengan GDV berjumlah RM1.504 bilion, sama ada melalui penyiapan fizikal projek mahupun penyelesaian yang memberi manfaat kepada pembeli rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lan berkenaan pelan alternatif kerajaan untuk menyelamatkan projek Residensi Wilayah Pangsapuri Salak Selatan jika Scheme of Arrangement oleh Pengurus Kehakiman gagal, termasuk pertimbangan melantik pemaju penyelamat bagi memastikan 1,120 unit kediaman tersebut berjaya disiapkan di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa setakat Ogos 2026, terdapat tujuh projek perumahan swasta terbengkalai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Daripada jumlah itu, lima projek berada dalam kategori perancangan, manakala masing-masing satu projek dikategorikan sebagai sedang dipulihkan dan statik.
“One Kiara dan Residensi Hijauan Pantai kini di peringkat perancangan. Robertson Hill dan Olive 108 berstatus dalam perancangan. Projek ini sedang dalam tindakan pelaksanaan penyelesaian pembeli.
“Pangsaparuri Duke Sentul berstatus statik berikutan isu perundangan yang melibatkan kes mahkamah antara pemaju dan pemilik tanah dengan DBKL serta Puchong East sedang dipulihkan dan dijangka akan mencapai Sijil CCC pada suku pertama 2027,” katanya.