Lelaki warga asing direman, miliki senapang angin buatan sendiri

Foto IPD Mukah

MUKAH, 14 Oktober – Pemilikan senjata tanpa lesen sah membawa padah kepada seorang lelaki warga asing berusia 52 tahun yang ditahan dalam Op Laras di sini, selepas polis merampas selaras senapang angin buatan sendiri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek seorang petani ditahan Bahagian Siasatan Jenayah hasil maklumat dan risikan.
  • Polis merampas sebotol spirit dan dua biji guli di sebuah pondok persendirian di Jalan Balingian-Tatau.
  • Suspek mengaku membuat alat untuk memburu tupai; direman dua hari sehingga 16 Oktober bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Mukah, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, suspek yang bekerja sebagai petani ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah di Jalan Haji Mohd Fauzi, kira-kira pukul 11 pagi, 13 Oktober lalu, hasil maklumat dan risikan.

“Susulan penahanan itu, pihak polis kemudian merampas selaras senapang angin buatan sendiri, sebotol spirit dan dua biji guli di sebuah pondok persendirian di Jalan Balingian-Tatau kira-kira pukul 2.30 petang.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku membuat dan memiliki senapang berkenaan bertujuan memburu tupai,” kata DSP Muhamad Rizal.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata tanpa lesen yang sah. Suspek direman selama dua hari sehingga 16 Oktober ini bagi membantu siasatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.