
SAUDARA PENGARANG
- Sumber air tawar semula jadi terhad; bergantung kepada hujan dan lapisan air tawar cetek yang mudah terjejas oleh pengambilan, pasang surut dan kemasinan.
- Loji penyahgaraman 2015 meningkatkan bekalan tetapi mewujudkan kebergantungan pada tenaga, pam, membran, alat ganti dan rangkaian logistik dari Western Australia.
- Kejadian banjir berulang di Kampong punca kebimbangan; masalah saliran, soak wells dan sistem pembetungan vakum dipersoal dalam CHRMAP.
- Perancangan adaptasi memerlukan pendekatan bersepadu yang seimbang antara infrastruktur, perlindungan pesisir dan pemeliharaan sejarah serta identiti masyarakat Melayu Cocos.
Jauh di Lautan Hindi, hampir 3,000 kilometer di barat laut Perth, Australia, terletaknya Cocos (Keeling) Islands, sebuah wilayah Australia yang terdiri daripada gugusan pulau karang rendah.
Di Home Island, masyarakat Melayu Cocos atau Cocos Malay menjadi komuniti utama yang telah membina kehidupan, budaya dan identiti tersendiri sejak abad ke-19.
Sejarah masyarakat Melayu Cocos berkait rapat dengan perkembangan ekonomi perladangan kelapa apabila keluarga Clunies-Ross membawa masuk pekerja dari Tanah Melayu, Jawa, India, Ceylon, China dan Afrika Timur.
Sepanjang tempoh pengasingan yang panjang, masyarakat ini membentuk identiti tersendiri berteraskan bahasa Melayu, kebudayaan tempatan dan agama Islam.
Home Island kemudiannya berkembang sebagai pusat penempatan masyarakat Melayu Cocos yang menempatkan kediaman pekerja, keluarga serta kemudahan pemprosesan kopra.
Kepulauan tersebut menjadi wilayah Australia pada 1955, sebelum penduduknya memilih untuk berintegrasi dengan Australia pada 1984 melalui proses penentuan nasib sendiri yang diawasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Bagaimanapun, di sebalik keunikan sejarah dan kebudayaan masyarakat Melayu Cocos, komuniti yang menetap di tengah Lautan Hindi ini berhadapan dengan cabaran keselamatan air yang semakin kompleks, khususnya berkaitan bekalan air tawar, banjir dan perubahan iklim.
Berdasarkan Banci Australia 2021, seramai 448 daripada keseluruhan 593 penduduk Cocos (Keeling) Islands menetap di Home Island.
Pada peringkat keseluruhan kepulauan, sebanyak 61.2 peratus penduduk menggunakan bahasa Melayu di rumah, manakala Islam merupakan agama yang paling banyak dilaporkan.
Kedudukan geografi Home Island sebagai sebuah pulau karang kecil menyebabkan sumber air tawarnya secara semula jadi amat terhad. Pulau berkenaan tidak mempunyai sungai besar atau tasik yang boleh dijadikan sumber bekalan air utama.
Sejak dahulu, masyarakat setempat bergantung kepada air hujan dan sumber air bawah tanah yang dikenali sebagai freshwater lens, iaitu lapisan air tawar cetek yang terbentuk apabila air hujan meresap ke dalam tanah dan berada di atas air masin.
Walaupun sumber tersebut penting untuk menyokong kehidupan penduduk, keupayaannya amat bergantung kepada jumlah hujan, kadar pengambilan air, perubahan pasang surut serta tahap kemasinan air bawah tanah.
Kajian hidrogeologi yang dijalankan sejak dekad 1970-an menunjukkan bahawa kapasiti sumber air di Home Island sebenarnya lebih kecil daripada jangkaan awal.
Menjelang tahun 2000-an, masalah bekalan dan pelaksanaan sekatan penggunaan air telah menjadi antara isu yang memerlukan perhatian pihak berkuasa.
Keadaan itu memperlihatkan bahawa masalah keselamatan air masyarakat Melayu Cocos bukanlah fenomena baharu yang muncul akibat perubahan iklim semata-mata.
Sebaliknya, cabaran berkenaan telah lama dipengaruhi oleh keadaan fizikal pulau yang kecil, berkedudukan rendah dan bergantung kepada hujan untuk menambah sumber air bawah tanah.
Usaha meningkatkan keselamatan bekalan air menyaksikan satu perkembangan penting pada 2015 apabila loji penyahgaraman baharu mula beroperasi di Home Island.
Projek yang dibiayai kerajaan Australia dengan peruntukan A$3.7 juta itu bertujuan menambah bekalan air daripada sumber air bawah tanah semula jadi.
Melalui teknologi reverse osmosis, air laut diproses menjadi air tawar yang boleh digunakan penduduk.
Penggunaan teknologi tersebut bukan sahaja meningkatkan jaminan bekalan air, malah membantu mengurangkan tekanan terhadap sumber freshwater lens yang sebelum ini menjadi antara sumber utama masyarakat.
Kemudahan berkenaan turut mengubah keadaan apabila keterbatasan sumber air sebelum ini menjadi salah satu faktor yang mengehadkan pembangunan di Home Island.
Namun, penggunaan teknologi penyahgaraman tidak bermakna masyarakat Melayu Cocos telah bebas sepenuhnya daripada masalah kebergantungan terhadap sumber air.
Sebaliknya, bentuk kebergantungan tersebut telah berubah daripada pergantungan secara langsung kepada hujan dan air bawah tanah kepada keperluan tenaga, pam tekanan tinggi, membran penapisan, alat ganti, penyelenggaraan serta kepakaran teknikal.
Perkhidmatan bekalan air dan air sisa di kepulauan tersebut dikendalikan oleh Water Corporation of Western Australia bagi pihak kerajaan Australia.
Oleh sebab kedudukannya yang jauh dari tanah besar, kelangsungan operasi sistem bekalan air turut bergantung kepada jaringan logistik dan sokongan institusi dari Western Australia.
Keadaan ini menunjukkan bahawa walaupun teknologi penyahgaraman berjaya meningkatkan keselamatan bekalan air, penggunaannya turut mewujudkan bentuk kebergantungan infrastruktur yang baharu.
Dalam perkembangan berkaitan, masyarakat di Kampong, Home Island kini turut berhadapan dengan satu lagi cabaran yang berbeza, iaitu kejadian banjir dan masalah air bertakung.
Pada April 2026, kerajaan Australia secara terbuka mengakui bahawa kejadian banjir berulang telah berlaku di Kampong.
Melalui proses rundingan awam bagi Coastal Hazard Risk Management and Adaptation Plan (CHRMAP), penduduk turut berkongsi pengalaman berhadapan dengan masalah air bertakung di kawasan rendah, jalan raya dan sekitar kediaman ketika hujan lebat.
Sebahagian penduduk turut menyuarakan kebimbangan terhadap keberkesanan sistem saliran, soak wells, kabel bawah tanah dan sistem pembetungan vakum atau sewage vacuum system.
Bagaimanapun, kejadian banjir yang sedang dialami penduduk perlu dibezakan daripada risiko limpahan air laut atau coastal inundation yang diramalkan berlaku pada masa hadapan.
Setakat ini, bukti yang tersedia belum membolehkan semua kejadian banjir di Home Island dikaitkan secara langsung dengan kemasukan air laut ke kawasan penempatan.
Hujan lebat dikenal pasti memainkan peranan penting, manakala kemungkinan hubungan antara kejadian banjir dengan perubahan paras air bawah tanah masih dalam penelitian.
Pada masa yang sama, penilaian pesisir oleh kerajaan Australia menunjukkan bahawa Home Island terdedah kepada ancaman hakisan pantai dan limpahan air laut, dengan risiko berkenaan dijangka meningkat seiring kenaikan aras laut.
Perkembangan ini memperlihatkan bahawa masyarakat Melayu Cocos sebenarnya berhadapan dengan beberapa bentuk ancaman air secara serentak, termasuk hujan lebat, keadaan air bawah tanah yang cetek dan kedudukan pulau yang dikelilingi lautan.
Situasi tersebut menjadikan persoalan keselamatan air di Home Island tidak lagi boleh dinilai berdasarkan kecukupan bekalan air minum semata-mata.
Bekalan air yang semakin stabil melalui teknologi penyahgaraman tidak semestinya menjamin bahawa kawasan kediaman penduduk bebas daripada risiko banjir.
Begitu juga, kewujudan air yang banyak di sesuatu kawasan tidak bermakna air tersebut sesuai digunakan sebagai air minum.
Keadaan ini memperlihatkan bahawa masalah kekurangan air dan lebihan air boleh berlaku pada masa yang sama dalam sebuah komuniti pulau kecil.
Cabaran berkenaan turut memperlihatkan kepentingan sistem infrastruktur asas, termasuk saliran, rangkaian paip, pembetungan, kabel elektrik dan jalan raya yang mempengaruhi pergerakan air di kawasan penempatan Kampong.
Dalam maklum balas masyarakat terhadap CHRMAP, terdapat penduduk yang mempersoalkan keberkesanan soak wells serta keupayaan paip tertentu untuk mengalirkan air ketika hujan lebat.
Kebimbangan mengenai keselamatan kabel bawah tanah dan sistem pembetungan vakum juga dibangkitkan, walaupun perkara tersebut tidak semestinya membuktikan bahawa kemudahan berkenaan telah mengalami kegagalan akibat kejadian banjir.
Sebaliknya, maklum balas itu menunjukkan bahawa pengurusan keselamatan air perlu mengambil kira tahap ketahanan infrastruktur yang menyokong kehidupan seharian penduduk.
Home Island turut mempunyai sistem rawatan air sisa yang dikendalikan Water Corporation. Air sisa dirawat terlebih dahulu sebelum dilepaskan ke laut melalui sistem ocean outfall.
Dalam persekitaran pulau karang yang mempunyai sumber air bawah tanah cetek, pengurusan bekalan air minum, air hujan dan air sisa saling berkait kerana semuanya beroperasi dalam ruang geografi yang terhad.
Gangguan terhadap satu komponen infrastruktur berpotensi memberi tekanan kepada komponen lain, sekali gus meningkatkan kepentingan perancangan infrastruktur yang bersepadu bagi menghadapi risiko perubahan iklim.
Menyedari cabaran tersebut, kerajaan Australia dan Western Australia kini memberikan perhatian kepada pendekatan pengurusan air dan risiko iklim yang lebih menyeluruh.
Pelan akhir CHRMAP yang dikeluarkan pada 2026 menghubungkan pengurusan risiko pesisir dengan perancangan guna tanah, perlindungan aset, kejadian banjir dan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan.
Sementara itu, Department of Water and Environmental Regulation turut menyenaraikan beberapa usaha di Indian Ocean Territories, termasuk Drinking Water Protection, Flood Study serta Hydrogeological Assessment and Monitoring yang merangkumi pemasangan sistem telemetri.
Langkah tersebut menunjukkan bahawa pengurusan air di Cocos (Keeling) Islands semakin berkembang daripada tumpuan terhadap penyediaan bekalan air kepada pengurusan hubungan antara perubahan iklim, keadaan tanah, kawasan penempatan dan infrastruktur.
Pada Disember 2024, kerajaan Australia turut mengumumkan pakej pembiayaan berjumlah A$23.3 juta bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi perubahan iklim dan keselamatan komuniti di Cocos (Keeling) Islands.
Daripada jumlah itu, sebanyak A$12.2 juta diperuntukkan bagi kerja penyelenggaraan dan peningkatan tembok laut atau seawalls.
Manakala A$8.1 juta disediakan untuk pembaikan serta peluasan pusat perlindungan siklon atau cyclone shelters. Baki peruntukan pula disalurkan kepada sokongan komuniti.
Walaupun pelaburan infrastruktur tersebut penting untuk meningkatkan perlindungan fizikal, masa depan Home Island turut bergantung kepada sejauh mana perancangan adaptasi mengambil kira kepentingan sejarah, budaya dan kehidupan masyarakat Melayu Cocos.
Bagi komuniti tersebut, Kampong bukan sekadar sebuah kawasan penempatan yang terdedah kepada risiko perubahan iklim, tetapi merupakan pusat kehidupan masyarakat yang telah diwarisi dan dibangunkan sejak beberapa generasi.
Atas sebab itu, perbincangan mengenai langkah penyesuaian terhadap ancaman pesisir, termasuk kemungkinan pelaksanaan managed retreat atau pengunduran terancang dari kawasan berisiko, telah menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk ketika proses konsultasi CHRMAP berlangsung.
Dari sudut perancangan teknikal, pemindahan sesuatu aset atau kemudahan mungkin dilihat sebagai langkah mengurangkan risiko.
Namun, bagi masyarakat Melayu Cocos, pemindahan kediaman dan ruang komuniti turut melibatkan persoalan kesinambungan sejarah, hubungan sosial dan identiti setempat.
Pengalaman masyarakat Melayu Cocos di Home Island akhirnya memperlihatkan bahawa keselamatan air pada abad ke-21 tidak lagi terbatas kepada kemampuan sesebuah kerajaan menyediakan air bersih melalui rangkaian paip.
Sebaliknya, keselamatan air turut merangkumi pengurusan kawasan banjir, ketahanan infrastruktur, keperluan tenaga bagi menghasilkan air bersih, keupayaan institusi serta perlindungan terhadap masyarakat yang berhadapan dengan pelbagai bentuk risiko air.
Bagi masyarakat Melayu Cocos, cabaran masa depan bukan sekadar memastikan bekalan air tawar sentiasa mencukupi, tetapi juga menjamin bahawa kemajuan teknologi, perancangan adaptasi iklim dan pembangunan infrastruktur dapat melindungi keselamatan Kampong.
Pada masa yang sama, setiap usaha pengurusan risiko perlu mengambil kira kepentingan mengekalkan hubungan masyarakat dengan kawasan penempatan yang telah membentuk sejarah, kebudayaan dan identiti mereka sejak sekian lama.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Mohd Firdaus Abdullah
Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia
E-mel: mfa@ukm.edu.my