
KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Murid asrama disaran kekal berada di asrama sepanjang penutupan sekolah akibat jerebu, selagi keadaan selamat dan kebajikan mereka terjamin.
- Keputusan penutupan sekolah mesti dimaklumkan seawal mungkin supaya ibu bapa boleh membuat persediaan.
- Keputusan penutupan berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara semasa; pengurusan jerebu melibatkan JAS, KKM dan KPM.
- KPM prihatin terhadap kesan gangguan pembelajaran; memantau melalui JPN dan PPD serta memperbaiki komunikasi kepada ibu bapa.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, langkah itu bagi mengurangkan beban ibu bapa yang perlu mengambil dan menghantar anak berulang kali sepanjang tempoh penutupan sekolah.
Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya memahami kebimbangan ibu bapa yang mencadangkan supaya sekolah ditutup selama beberapa hari bagi memudahkan urusan keluarga.
“Sebab itu, saya telah meminta supaya keputusan penutupan sekolah dimaklumkan seawal mungkin bagi memberi ruang kepada ibu bapa membuat persediaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.
Datuk Seri Fadhlina berkata, keputusan penutupan sekolah perlu mengambil kira bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) semasa di setiap kawasan kerana tahap pencemaran boleh berubah mengikut masa dan lokasi.
Menurutnya, pengurusan jerebu turut membabitkan tanggungjawab pelbagai agensi, termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang memantau kualiti udara dan menangani pencemaran serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memberikan panduan berkaitan risiko kesihatan.
Kementerian Pendidikan (KPM) pula memberi tumpuan kepada keselamatan murid dan pengurusan operasi sekolah berdasarkan keadaan semasa.
Datuk Seri Fadhlina berkata, pengalaman pandemik COVID-19 menunjukkan gangguan persekolahan memberi kesan besar terhadap pembelajaran murid.
“Sehingga hari ini, usaha menangani keciciran pembelajaran masih diteruskan. Masa pembelajaran yang hilang bukan mudah untuk diganti, apatah lagi kemudahan PdPR tidak sama bagi setiap murid,” katanya.
Beliau berkata, KPM akan terus memantau keadaan melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), selain memperbaiki penyampaian maklumat kepada ibu bapa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa atas pandangan dan kesabaran sepanjang berdepan situasi jerebu.