
RANTAU PANJANG, 11 Oktober – Seorang wanita warga Thailand dipercayai menerima upah RM1 bagi setiap plastik minyak masak yang dijaganya sebelum bekalan itu diambil individu lain untuk diseludup ke Thailand.
- Seorang wanita berusia 59 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah rumah kedai.
- Pemeriksaan menemui 119 peket minyak masak bersubsidi dan 84 kg gula, nilai rampasan RM545.30.
- Semua rampasan dan tangkapan diserahkan kepada KPDN Pasir Mas; kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata wanita berusia 59 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Jalan Besar, Rantau Panjang semalam.
Beliau berkata pemeriksaan di premis berkenaan menemukan 119 minyak masak peket bersubsidi dan 84 kilogram (kg) gula dengan nilai rampasan keseluruhan RM545.30.
“Wanita itu memaklumkan bahawa terdapat individu yang menghantar minyak masak ke kedai berkenaan dan dia hanya bertanggungjawab menjaganya dengan menerima upah RM1 bagi setiap plastik.
“Minyak masak itu kemudiannya akan diambil individu lain untuk diseludup ke Thailand,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam operasi berasingan pada hari sama, PGA turut merampas 51 minyak masak peket bernilai RM127.50 di Pengkalan Haram Madrasah, Rantau Panjang yang cuba diseludup ke negara jiran.
Ahmad Radzi berkata, rampasan dibuat selepas anggota rondaan menemukan bungkusan plastik berisi minyak masak di kawasan berkenaan kira-kira pukul 5.45 petang.
Tiada tangkapan dibuat dalam operasi kedua itu.
Kesemua rampasan dan tangkapan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pasir Mas untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.