HSN peringkat Langkawi dianjur skala sederhana

Foto RTM

LANGKAWI, 11 Oktober – Hari Sukan Negara (HSN) peringkat daerah di sini diadakan pada skala sederhana selepas Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) mencatatkan pada tahap baik, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Larian Ria MADANI lima kilometer disertai lebih 350 peserta di Pantai Tengah.
  • Pelbagai aktiviti seperti memanah tradisional, memanjat pokok, pameran kesihatan dan derma darah.
  • Pertandingan Bola Sepak Empat Penjuru dimenangi Helang FC, menewaskan Sepakat FC 10-3; hadiah tunai dibawa pulang.
  • Sambutan HSN menunjukkan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan sukan; beberapa daerah lain ditangguhkan akibat bacaan IPU tidak sihat.

Program dimulakan dengan acara Larian Ria MADANI sejauh lima kilometer disertai lebih 350 orang di Pantai Tengah.

HSN peringkat daerah itu turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik lain seperti memanah tradisional, memanjat pokok, pameran kesihatan dan derma darah.

Majlis disempurnakan oleh Pegawai Daerah Langkawi, Nasrun Datuk Mohd Sheriff.

Pada sebelah malam, turut berlangsung Pertandingan Bola Sepak Empat Penjuru dekat Kampung Kumpulan, Ulu Melaka.

Pasukan Helang FC muncul sebagai juara dalam pertandingan tersebut selepas menundukkan Sepakat FC dengan jaringan besar 10-3.

Helang FC membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,500 manakala, Sepakat FC selaku naib juara menerima sebanyak RM1,000.

Tempat ketiga diraih pasukan Helang FC Junior sementara Kenari FC di tempat keempat.

Sambutan Hari Sukan Negara mencerminkan pengiktirafan kerajaan terhadap kepentingan sukan dalam membentuk masyarakat yang cergas, produktif dan bersatu padu demi menjadikan Malaysia sebuah negara bersukan.

Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, sambutan HSN di enam daerah di negeri berkenaan ditangguhkan susulan bacaan IPU pada tahap tidak sihat termasuk Padang Terap, Pokok Sena, Pendang dan Baling.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.