Man City berdepan tekanan di Anfield susulan skandal kewangan

Foto AFP

LIVERPOOL, 11 Oktober – Manchester City dijangka berdepan tekanan di Anfield apabila bertemu seteru tradisi Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), malam ini buat kali pertama sejak didapati bersalah melanggar lebih 100 peraturan kewangan liga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suruhanjaya bebas mendapati City dan pemilik UAE atur urus niaga palsu, memanipulasi hasil lebih £900 juta antara 2009 hingga 2018.
  • City mengemukakan rayuan; pengurus Enzo Maresca mahu pemain fokus pada bola sepak dan tidak terganggu isu luar kawalan.
  • Andoni Iraola kata ketidakpastian rayuan dan kemungkinan hukuman menjadi perkara paling sukar untuk ditangani.
  • Perlawanan menentang Liverpool menjadi ujian besar, sama ada kontroversi menguatkan atau menjejaskan City yang kini mencatat tujuh kemenangan berturut-turut.

Keputusan suruhanjaya bebas mendapati City dan pemiliknya dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengatur urus niaga “palsu” bagi meningkatkan hasil dan mengurangkan kos secara buatan melebihi £900 juta (AS$1.2 bilion) antara 2009 hingga 2018.

Pelanggaran berkenaan berlaku ketika City memenangi tiga gelaran liga serta beberapa trofi lain, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai kesan keputusan itu terhadap masa depan kelab berkenaan dan saingan EPL.

Bagaimanapun, City telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan terbabit, manakala pengurusnya, Enzo Maresca, berkata beliau yakin kelab tersebut mampu membatalkan keputusan asal berkenaan.

Menurut Maresca, beliau mahu pemainnya memberi tumpuan kepada aksi di atas padang dan tidak terganggu dengan perkara di luar kawalan mereka.

“Saya dan pemain hanya boleh mengawal apa yang berlaku di atas padang, iaitu bola sepak. Kami memberikan tumpuan kepada perkara itu,” katanya.

Sementara itu, pengurus Liverpool, Andoni Iraola, berkata ketidakpastian mengenai keputusan rayuan dan kemungkinan hukuman terhadap City menjadi perkara paling sukar untuk ditangani ketika ini.

Antara kemungkinan hukuman yang dibincangkan ialah pemotongan mata dalam jumlah besar, penyingkiran daripada liga utama England, malah penarikan semula gelaran yang dimenangi ketika tempoh pelanggaran didakwa berlaku.

John Gibbons daripada podcast Liverpool, The Anfield Wrap, berpendapat gelaran City dalam tempoh berkenaan perlu ditarik balik bagi mengelakkan mesej yang salah kepada kelab lain pada masa depan.

Liverpool sendiri beberapa kali terpaksa berpuas hati di tempat kedua di belakang City dalam tempoh 12 tahun lalu, termasuk pada musim 2013/14 yang turut berada dalam tempoh siasatan.

Dua kali pasukan kendalian Jurgen Klopp sebelum ini gagal menjulang gelaran meskipun mengumpul lebih 90 mata.

Pertemuan di Anfield juga sering menjadi cabaran buat City.

Kemenangan 2-1 musim lalu merupakan kemenangan pertama mereka di venue itu di hadapan penonton sejak 2003, selain satu lagi kemenangan ketika sekatan pandemik COVID-19 pada 2021.

City kini berada dalam prestasi cemerlang di bawah Maresca dengan mencatat tujuh kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan.

Perlawanan menentang Liverpool dijangka menjadi ujian besar buat City, sama ada mereka mampu menjadikan kontroversi berkenaan sebagai pembakar semangat atau sebaliknya terjejas akibat tekanan yang semakin meningkat. — AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.