
CYBERJAYA, 10 Oktober – Cadangan mengurangkan nisbah guru kaunseling kepada murid daripada seorang bagi setiap 500 murid kepada seorang bagi setiap 350 murid, serta pemansuhan sistem pengajian tiga semester di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
- NUTP mencadangkan pengurangan nisbah guru kaunseling supaya guru dapat memberi perhatian dan bimbingan lebih mendalam kepada murid.
- Pengurangan nisbah diharap membolehkan tindakan lebih efektif terhadap isu buli dan meningkatkan keselamatan murid.
- NUTP mencadangkan kembali kepada sistem dua semester bagi mengurangkan beban pelajar serta memastikan pengajaran lebih teratur dan berkesan.
- NUTP mengusulkan laluan persaraan pilihan untuk guru bermasalah emosi serta memberi penghargaan kepada guru berkhidmat cemerlang.
Itu antara 13 usul yang akan dibawa Majlis Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) kepada Kementerian Pendidikan (KPM) tahun depan.
Presidennya, Aminuddin Awang berkata, usaha itu bagi meningkatkan kesejahteraan guru serta memperkukuh keberkesanan sistem pendidikan negara.
Menurutnya, pengurangan nisbah guru kaunseling kepada murid diharap dapat membolehkan guru memberikan perhatian dan bimbingan yang lebih mendalam, sekali gus membantu menangani isu buli serta keselamatan murid dengan lebih berkesan.
“NUTP berpandangan nisbah sedia ada perlu dikurangkan bagi memastikan keperluan emosi dan kebajikan murid dapat diberikan perhatian sewajarnya
“Dan kita yakin dengan mengecilkan nisbah ini, maka hal-hal yang berkaitan dengan apa yang berlaku sekarang berkaitan dengan buli, keselamatan itu akan dapat kita tangani dengan sewajarnya,” katanya.
Dalam pada itu, NUTP turut mencadangkan supaya sistem pengajian tiga semester di IPGM dikembalikan kepada dua semester seperti sebelum ini.
Aminuddin berkata, cadangan itu bertujuan mengurangkan beban pelajar dan pensyarah, selain memastikan proses pengajaran dan pembelajaran serta pelaksanaan kursus dapat berjalan dengan lebih teratur dan berkesan.
“Menerusi dapatan tersebut, kami mencadangkan agar sistem pengajian tiga semester dikembalikan kepada dua semester seperti sebelum ini, bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran serta pelaksanaan kursus dapat berjalan dengan lebih teratur dan berkesan,” katanya pada sidang media sempena majlis sambutan Hari Guru Sedunia 2026 peringkat NUTP yang menghimpunkan kira-kira 1,000 guru di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, NUTP turut mengusulkan laluan persaraan pilihan kepada guru, khususnya mereka yang mengalami tekanan emosi dan tidak lagi bermotivasi untuk meneruskan perkhidmatan.
Pada majlis sama, lima individu menerima pengiktirafan atas sumbangan, jasa dan kecemerlangan mereka dalam bidang pendidikan.
Mereka ialah Wak Jemah @ Mimah a/p Kampok dan Mohd Ramli Yaacob yang menerima Anugerah Khas, Dr. Zul Faizuddin Osman (Anugerah Guru Inspirasi Sekolah Pedalaman), Hamisah Ismail (Anugerah Guru Inovasi NUTP), serta Datuk Lok Yim Pheng (Anugerah Tokoh Pejuang Guru Sepanjang Zaman).