UAE sokong bekalan air Gaza menerusi projek penyahgaraman, penggerudian telaga

Foto fail AFP

ABU DHABI, 8 Oktober – Emiriah Arab Bersatu (UAE) terus menyalurkan bekalan air kepada penduduk Palestin di Semenanjung Gaza menerusi projek penyahgaraman, penggerudian telaga serta penyediaan lori tangki dan tangki simpanan air.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi Chivalrous Knight 3 diteruskan untuk menangani krisis air di Gaza dan membantu pemindahan serta keperluan asas penduduk.
  • Disember 2023 saluran paip dari loji penyahgaraman di sempadan Mesir mula membekalkan air kepada kira-kira satu juta penduduk di Rafah.
  • Ogos 2025 sambungan paip 7.5 km ke Khan Younis membekalkan lima juta liter sehari kepada kira-kira 700,000 penduduk.
  • Pasukan lapangan menyediakan pusat pengagihan, menyelenggara infrastruktur, menghantar 37 lori tangki, menggerudi 121 telaga, serta menyediakan 20,000 gelen dan 270 tangki.

Usaha itu dilaksanakan di bawah Operasi Chivalrous Knight 3 bagi membantu mengurangkan kekurangan bekalan air serta memenuhi keperluan penduduk dan golongan yang dipindahkan.

Menurut Agensi Berita Emirates (WAM), pada Disember 2023, saluran paip air UAE yang disambungkan ke loji penyahgaraman di sebelah Mesir mula membekalkan air kepada kira-kira satu juta penduduk yang dipindahkan di Rafah, selatan Gaza.

Sebanyak enam loji penyahgaraman dibangunkan di bawah operasi berkenaan bagi menangani masalah kekurangan air di Gaza.

Pada Ogos 2025, saluran paip sepanjang 7.5 kilometer turut dilanjutkan ke Khan Younis di selatan Gaza, membekalkan lima juta liter air sehari kepada kira-kira 700,000 penduduk.

Pasukan lapangan juga terus berusaha melanjutkan rangkaian saluran paip, menyediakan pusat pengagihan serta menyelenggara infrastruktur bagi memastikan bekalan air sampai kepada penduduk dan memenuhi keperluan harian mereka.

Operasi Chivalrous Knight 3 turut meneruskan usaha menangani krisis air di Gaza dengan menghantar 37 lori tangki air, termasuk penghantaran terbaharu pada September 2026, selain menggerudi 121 telaga yang memberi manfaat kepada kira-kira 600,000 penduduk.

Selain itu, sebanyak 20,000 gelen air dan 270 tangki simpanan turut disediakan bagi menyokong usaha penyimpanan dan pengagihan air di kawasan sasaran, sekali gus memudahkan keluarga mendapatkan bekalan air.

Projek berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kemanusiaan berterusan UAE bagi membantu rakyat Palestin, memenuhi keperluan asas mereka serta memastikan kesinambungan perkhidmatan penting di Semenanjung Gaza. – BERNAMA-WAM

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.