
SAUDARA PENGARANG
- Panduan belajar mesti jadi kompas pembelajaran: nyatakan hasil pembelajaran, pandu sebelum, semasa dan selepas kelas untuk sokong proses metakognisi.
- Pelajar perlu kawal pembelajaran sendiri: kenal pasti jurang pengetahuan, nilai kefahaman dan cari bantuan bila perlu.
- Reka panduan ringkas, jelas dan berorientasi pengalaman pelajar; pensyarah mesti merujuknya dan elakkan dokumen panjang tidak digunakan.
Bayangkan seorang pelajar memasuki dewan kuliah pada pukul 8 pagi. Di hadapannya terpampang puluhan slaid, beberapa istilah baharu dan satu topik yang perlu dikuasai dalam tempoh singkat. Kuliah berakhir sejam kemudian.
Nota sudah disimpan, slaid boleh dibuka semula, malah rakaman mungkin tersedia.
Namun, satu persoalan masih belum terjawab sebenarnya, apakah yang perlu saya tahu daripada kelas tadi? Persoalan ini kelihatan mudah, tetapi semakin penting ketika pelajar berhadapan dengan lambakan maklumat.
Cabarannya hari ini bukan semata-mata mendapatkan bahan pembelajaran. Dengan carian Internet dan kecerdasan buatan (AI), maklumat boleh diperoleh dalam beberapa saat.
Cabaran sebenar ialah mengetahui maklumat mana yang perlu dikuasai, sejauh mana perlu difahami dan bagaimana pelajar boleh menilai kefahaman sendiri.
Di sinilah panduan belajar atau study guide boleh memainkan peranan yang jauh lebih besar.
Di sesetengah program pengajian, termasuk program perubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), dokumen yang dikenali sebagai Student Study Guide disediakan untuk pelajar.
Antaranya terkandung struktur kursus, kaedah pembelajaran, penilaian serta hasil pembelajaran bagi sesuatu topik.
Pelajar juga digalakkan menyemak panduan tersebut sebelum kursus bermula dan kembali melihat hasil pembelajaran untuk mengenal pasti bahagian yang masih memerlukan latihan atau penjelasan.
Namun, persoalan yang lebih menarik bukan sama ada universiti mempunyai panduan belajar atau tidak. Persoalannya ialah sejauh mana pelajar benar-benar menggunakannya sebagai alat untuk belajar?
Panduan belajar tidak sepatutnya menjadi dokumen yang dibuka pada minggu pertama, kemudian tersimpan di dalam komputer sehingga peperiksaan menjelang.
Jika direka dengan baik, ia boleh menjadi semacam kompas yang menemani pelajar sebelum kelas, selepas kelas dan ketika membuat ulang kaji.
Sebelum memasuki kelas, misalnya, pelajar seharusnya dapat melihat hasil pembelajaran atau learning outcomes (LO) bagi sesi tersebut.
Jika LO menyatakan pelajar perlu “menerangkan”, “membezakan”, “mentafsir” atau “mengaplikasikan” sesuatu konsep, mereka sudah mempunyai gambaran tentang tahap penguasaan yang diharapkan.
Mereka tidak datang hanya untuk menyalin nota, tetapi mengetahui destinasi pembelajaran yang hendak dicapai.
Selepas kelas, LO yang sama boleh digunakan dengan cara yang berbeza. Pelajar boleh bertanya kepada diri sendiri. “Bolehkah saya menerangkan perkara ini tanpa melihat slaid?” atau “Jika diberi situasi baharu, bolehkah saya menggunakan konsep tadi?”
Di sinilah berlaku proses yang disebut sebagai metakognisi, iaitu kesedaran seseorang terhadap apa yang sudah dan belum difahaminya.
Pelajar yang sedar bahawa dirinya belum memahami sesuatu mempunyai peluang lebih besar untuk mencari penjelasan, bertanya kepada pensyarah atau membuat latihan tambahan.
Yang lebih membimbangkan ialah apabila seseorang menyangka dirinya sudah memahami hanya kerana pernah membaca atau mendengar sesuatu.
Konsep panduan belajar sebenarnya sudah lama dibincangkan dalam pendidikan perubatan.
AMEE Medical Education Guide No. 16 menerangkan bahawa study guide boleh membantu pelajar mengurus pembelajaran, memahami hasil yang diharapkan, mengenal pasti sumber dan aktiviti pembelajaran serta membuat penilaian terhadap kemajuan sendiri.
Dengan kata lain, panduan itu bukan sekadar tempat mengumpulkan maklumat kursus, tetapi alat yang menyambungkan hasil pembelajaran, peluang belajar dan penilaian.
Idea lama ini menjadi semakin relevan dalam persekitaran pendidikan masa kini.
Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 memberi perhatian kepada pembelajar yang adaptif serta penggunaan teknologi baharu, termasuk AI, dalam pengajaran dan pembelajaran.
Pelan tindakannya turut menyebut pembangunan sokongan pembelajaran digital yang boleh membantu pembelajaran adaptif dan memaparkan pencapaian pembelajar.
Pada September lalu, Kementerian Pendidikan Tinggi turut menegaskan keperluan mengintegrasikan AI dalam kurikulum universiti tanpa membiarkan teknologi itu menggerhanakan pemikiran kritis serta kemampuan menulis dan mengarang pelajar.
Perkembangan ini membawa satu paradoks. Semakin pintar teknologi yang membantu pelajar, semakin penting pelajar mempunyai keupayaan untuk mengawal pembelajaran sendiri.
OECD melalui kerangka Learning in the Digital World PISA 2025 juga meletakkan pembelajaran terkawal kendiri sebagai keupayaan penting dalam persekitaran digital.
Pelajar bukan sahaja perlu mendapatkan jawapan, tetapi perlu mengenal pasti jurang pengetahuan, memilih strategi dan menilai kemajuan sendiri.
Walaupun PISA melibatkan pelajar sekolah, prinsip itu tetap relevan apabila mereka melangkah ke pendidikan tinggi. Justeru, mungkin sudah tiba masanya panduan belajar direka dari sudut pengalaman pelajar, bukan sekadar keperluan dokumentasi.
Sebelum kelas, ia perlu menjawab, “Apa yang patut saya tahu?” Selepas kelas, “Adakah saya benar-benar faham?” Menjelang peperiksaan pula, “Bahagian mana yang masih belum saya kuasai?”
Bayangkan jika pelajar boleh menandakan sendiri LO yang sudah dikuasai, yang masih samar dan yang memerlukan bantuan.
Ketika ulang kaji, mereka tidak lagi bermula dengan berpuluh-puluh slaid secara rawak, sebaliknya bermula dengan jurang pembelajaran sendiri.
Sudah tentu, panduan belajar bukan penyelesaian kepada semua masalah pembelajaran. Dokumen yang terlalu panjang juga boleh menjadi satu lagi fail yang tidak dibuka.
Sebab itu penambahbaikannya perlu sederhana. Hasil pembelajaran mesti jelas, bahasa mudah difahami, kandungan disusun mengikut perjalanan pembelajaran dan ruang refleksi kendiri disediakan.
Pensyarah pula perlu merujuknya secara aktif supaya pelajar melihat panduan itu sebagai sebahagian daripada pembelajaran, bukan lampiran pentadbiran.
Pada akhirnya, pendidikan tinggi bukan sekadar memastikan pelajar mempunyai akses kepada maklumat.
Tugas yang lebih besar ialah membantu mereka mengetahui apa yang perlu dipelajari, menyedari apa yang belum difahami dan mempunyai keupayaan untuk memperbaikinya.
Dalam dunia yang jawapannya semakin mudah diperoleh, kebolehan bertanya “adakah saya benar-benar faham?” mungkin menjadi kemahiran belajar yang jauh lebih berharga.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr Azril Shahreez Abdul Ghani
Pensyarah Fisiologi dan Pendidikan Perubatan
Kulliyyah Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)