Lambakan hartanah : Sektor perbankan disaran perkukuh peranan

Akses kepada pembiayaan kekal antara cabaran utama bakal pembeli rumah

KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Inisiatif Sewa untuk Beli (Rent-to-Own) wajar ditambah baik di bawah Belanjawan 2027 menerusi penyelarasan skim itu dengan unit hartanah tidak terjual.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gabungkan skim Rent-to-Own dengan unit hartanah tidak terjual, termasuk rumah lengkap perabot atau separa siap, untuk penyelesaian pemilikan fleksibel.
  • Akses pembiayaan kekal terjejas oleh komitmen hutang tinggi; ini menjadi cabaran utama bagi bakal pembeli rumah.
  • Bank perlu beri khidmat nasihat dan panduan pemulihan skor kredit apabila permohonan pembiayaan ditolak.
  • Lebihkan institusi kewangan menawarkan skim tersebut, bukan hanya segelintir bank tempatan.

Pakar hartanah, Faizul Ridzuan berpandangan langkah berkenaan berupaya memberi penyelesaian pembiayaan fleksibel bagi pemilikan rumah terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, di samping menangani isu lambakan hartanah tidak terjual.

”Kita mempunyai lambakan hartanah tidak terjual di bawah RM300,000 antaranya di sebabkan lokasi dan permohonan pembiayaan yang tidak diluluskan. Mengapa tidak digabungkan skim Rent-to-Own dengan rumah-rumah yang sudah siap dibina?

”Kemudian boleh tawarkan rumah yang telah dilengkapi penuh dengan perabot atau sebahagiannya dan jadikannya kepada skim Rent-to-Own. Sambil menyewa, pembeli boleh memiliki,” katanya.

Tambahnya, akses kepada pembiayaan kekal antara cabaran utama bakal pembeli rumah, didorong terutamanya oleh komitmen hutang yang tinggi.

Justeru, sektor perbankan disaran memperkukuh peranan dalam membantu bakal pembeli termasuk memberi khidmat nasihat dan menyediakan alternatif penyelesaian kepada pemohon yang gagal mendapatkan pembiayaan.

”Lazimnya apabila permohonan untuk pembiayaan ditolak, pihak bank memberitahu ia disebabkan komitmen tinggi bakal pembeli, tetapi pembeli tidak diberitahu, bagaimana mereka boleh perbaiki skor kredit.

”Mungkin permohonan pinjaman pembeli ditolak hari ini, tetapi selepas 3 bulan ia boleh diluluskan kalau dia ambil langkah-langkah yang sepatutnya,” tambah beliau.

Sementara itu katanya, lebih banyak institusi kewangan perlu menawarkan skim itu kepada bakal pembeli berbanding hanya segelintir bank tempatan ketika ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.