
KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Pegawai baharu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) digesa memanfaatkan sepenuhnya latihan yang diperoleh bagi memperkukuh kesiapsiagaan dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara.
- 49 Leftenan Muda Maritim Siri 13/2025 akan ditugaskan ke kapal Maritim Malaysia di seluruh negara.
- Penugasan memberi tumpuan kepada kawasan berisiko seperti Zon Selamat Sabah Timur, perairan Sarawak dan Pantai Timur Semenanjung.
- Pelatih menjalani latihan 10 bulan di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah sebagai persediaan operasi sebenar.
- Latihan merangkumi ketahanan fizikal dan mental, penguatkuasaan, komunikasi, persenjataan serta prosedur penggeledahan.
Timbalan Pengarah Seksyen Penyelidikan dan Akreditasi (SPA), Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), Kepten (M) Mohd Yusri Hussin berkata, seramai 49 pelatih Leftenan Muda Maritim Siri 13/2025 bakal ditugaskan ke kapal Maritim Malaysia di seluruh negara selepas menamatkan latihan pada 10 Oktober ini.
“Kita fokuskan kepada kawasan yang berpotensi menghadapi ancaman, terutamanya di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone), perairan Sarawak serta Pantai Timur Semenanjung di perairan Laut China Selatan,” katanya kepada RTM.
Menurut Kepten (M) Mohd Yusri lagi, pelatih terbabit menjalani latihan selama 10 bulan di AMSAS sebagai persediaan sebelum menyertai operasi sebenar.
Latihan itu merangkumi aspek ketahanan fizikal dan mental, penguatkuasaan, komunikasi, persenjataan serta prosedur penggeledahan.
Penugasan pegawai baharu itu diharap dapat menambah kekuatan operasi Maritim Malaysia, khususnya di kawasan perairan strategik yang memerlukan pemantauan dan kesiapsiagaan berterusan.