Penarafan MyRA UniSIRAJ naik kepada tiga bintang pada 2025

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyampaikan ucaptama bersama Pengarah ICCU, Dr Firdavs Abdukhalikov sebelum menyaksikan Majlis Menandatangani  MoU UniSIRAJ-ICCU/ BERNAMA

TASHKENT, 5 Oktober – Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) mencatat perkembangan memberangsangkan dalam agenda penyelidikan apabila penarafan ‘Malaysian Research Assessment (MyRA)’ meningkat daripada dua bintang pada 2024 kepada tiga bintang pada 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tuanku Syed Faizuddin bertitah peningkatan mencerminkan pengukuhan ekosistem penyelidikan UniSIRAJ yang lebih produktif dan berimpak.
  • Pencapaian hasil daripada usaha memperkukuh penerbitan berindeks, penyelidikan berimpak tinggi, inovasi, kolaborasi strategik serta pengkomersialan hasil.
  • Majlis menandatangani MoU antara UniSIRAJ dan ICCU mengukuhkan jaringan akademik dan penyelidikan antarabangsa melalui perkongsian kepakaran.
  • MoU ditandatangani oleh Naib Canselor Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle dan Pengarah ICCU Dr Firdavs Abdukhalikov.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, peningkatan tersebut mencerminkan pengukuhan ekosistem penyelidikan UniSIRAJ yang semakin produktif, berdaya saing dan berimpak.

Baginda bertitah pencapaian itu didorong oleh usaha berterusan universiti dalam memperkukuh penerbitan ilmiah, penyelidikan berimpak tinggi, inovasi, kolaborasi strategik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, pengiktirafan kepakaran serta pengkomersialan hasil penyelidikan.

“Pencapaian tiga bintang MyRA ini bukan sekadar peningkatan satu tahap penarafan, malah menjadi petunjuk bahawa pelbagai inisiatif strategik yang dilaksanakan UniSIRAJ yang dimiliki oleh MAIPs telah mula diterjemahkan kepada peningkatan kapasiti dan prestasi penyelidikan universiti.

“Perkembangan tersebut turut disokong oleh pencapaian penerbitan jurnal berindeks yang melangkaui sasaran, peningkatan penyertaan dan pencapaian dalam bidang inovasi, pengukuhan jaringan kerjasama kebangsaan serta antarabangsa dan penghasilan projek penyelidikan bernilai tinggi”, titah Baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UniSIRAJ dan Islamic Civilization Center (ICCU) di Islamic Civilization Center, Tashkent.

MoU tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor UniSIRAJ, Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle, manakala ICCU diwakili Pengarah Islamic Civilization Center in Uzbekistan, Dr Firdavs Abdukhalikov.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, pengukuhan kerjasama strategik seperti itu juga penting dalam memperluas jaringan akademik dan penyelidikan UniSIRAJ di peringkat antarabangsa, khususnya melalui perkongsian kepakaran, pengetahuan dan sumber penyelidikan.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Hadir sama, Duta Besar Malaysia ke Republik Uzbekistan, Rafedah Abdul Aziz.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.