Sembilan gagasan DPN perkukuh industri buku, budaya membaca

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 November – Dasar Perbukuan Negara (DPN) menggariskan sembilan gagasan utama bagi memperkukuh budaya membaca serta memperkasakan ekosistem industri buku negara secara holistik dan mampan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkukuh budaya membaca mendalam agar generasi mampu memahami, menilai dan menguasai ilmu, bukan sekadar mendapatkan maklumat dengan pantas.
  • Bangunkan seluruh rantaian industri buku serta jaga kebajikan penggiat, lindungi hak cipta dan buka peluang kepada penerbit kecil.
  • Perluas karya tempatan ke pasaran antarabangsa melalui penterjemahan, perdagangan hak cipta dan kerjasama dengan penerbit luar negara.
  • Lahirkan generasi celik teknologi, berfikiran kritis dan mendalam, serta teguh dengan nilai dan jati diri.

Sembilan gagasan itu merangkumi budaya membaca, pendigitalan, literasi undang-undang dan hak cipta, penterjemahan profesional serta pembangunan profesionalisme.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, usaha itu penting bagi menangani kecenderungan generasi muda yang semakin kurang memberikan tumpuan ketika membaca, susulan perubahan corak penggunaan maklumat dalam era digital.

Tambahnya, walaupun prestasi membaca menunjukkan peningkatan dan pemulihan berdasarkan keputusan terkini Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA), tabiat membaca secara tergesa-gesa atau ‘hasty readers’ serta kecenderungan hanya menatap kandungan digital perlu diberikan perhatian.

Budaya tersebut perlu diperkukuh melalui pendekatan pembacaan mendalam yang membolehkan seseorang memahami, menilai dan menguasai ilmu, bukan sekadar mendapatkan maklumat secara pantas.

“Kita mahu generasi yang menguasai teknologi tetapi tidak kehilangan akal budi.

“Generasi yang terbuka kepada dunia tetapi teguh dengan nilai dan jati diri,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Dasar Perbukuan Negara di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan industri perbukuan perlu merangkumi keseluruhan rantaian industri termasuk penulis, penyunting, penterjemah, ilustrator, penerbit, pencetak, pengedar dan penjual buku.

Katanya, kejayaan industri berkenaan tidak seharusnya diukur berdasarkan angka jualan dan jumlah penerbitan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira kebajikan serta kedudukan ekonomi penggiat industri.

Sehubungan itu, perlindungan hak cipta, penghargaan terhadap pengkarya dan peluang kepada penerbit kecil perlu terus diperkukuh bagi memastikan industri perbukuan berkembang secara mampan.

Beliau turut mahu karya tempatan diperluas ke pasaran antarabangsa menerusi penterjemahan, perdagangan hak cipta dan kerjasama strategik dengan penerbit luar negara.

Usaha itu penting bagi memperkenalkan kekayaan bahasa, sejarah, budaya dan pemikiran masyarakat Malaysia kepada dunia, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara dalam wacana ilmu antarabangsa.

Datuk Seri Fadhlina berkata, kejayaan dasar berkenaan akhirnya bergantung kepada perubahan yang mampu dibawa kepada masyarakat serta keupayaan melahirkan generasi yang bukan sahaja cekap mendapatkan maklumat, tetapi turut memiliki kemampuan berfikir secara kritis dan mendalam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.