e-Jamin beroperasi lima tahun tanpa kontrak, RM130.8 juta wang jaminan dilabur

Datuk Mas Ermieyanti Samsudin

KUALA LUMPUR, 5 Oktober – Sistem e-Jamin sebuah perkhidmatan bayaran wang jaminan mahkamah bawah Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) dikenal pasti beroperasi selama lima tahun tanpa kontrak rasmi dengan Kerajaan Persekutuan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiada Surat Pelantikan, Surat Setuju Terima, LOI atau perjanjian kontrak mengikut tatacara perolehan kerajaan.
  • Dapat Vista melaburkan RM130.8 juta wang jaminan dan memperolehi faedah antara RM4 juta hingga RM5 juta setahun.
  • Wang jamin dimasukkan ke akaun komersial syarikat, melanggar Perkara 97(1) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 7 Akta Tatacara Kewangan 1957.
  • Tiada struktur pemegang amanah, bon atau insurans, menempatkan penjamin sebagai pemiutang biasa; jurang baki RM557,258 belum disahkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, sistem itu beroperasi tanpa Surat Pelantikan, Surat Setuju Terima (SST), Surat Niat (LOI) serta perjanjian kontrak rasmi dengan kerajaan persekutuan.

“Sistem e-Jamin bermula susulan kajian Dapat Vista pada 2017 bagi memudahkan proses pembayaran jaminan di mahkamah. Ia kemudian dilaksanakan secara bukti konsep (POC) yang dipersetujui Ketua Hakim Negara.

“Namun pelaksanaannya tidak mengikut tatacara perolehan kewangan kerajaan yang berkuat kuasa. Operasi e-Jamin di 192 mahkamah seluruh negara telah berjalan selama lima tahun sejak 10 Januari 2020 tanpa sebarang ikatan kontrak rasmi,” katanya dalam sidang media di parlimen hari ini.

Dapatan itu diperoleh daripada empat prosiding berhubung pengurusan sistem e-Jamin yang diadakan pada 4 November hingga 2 Disember 2025.

Jelas Datuk Mas Ermieyati, prosiding itu melibatkan saksi daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Kewangan (MOF), Jabatan Peguam Negara (AGC), PKPMP, Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dan syarikat pengendali sistem e-Jamin iaitu Dapat Vista Sdn Bhd.

Daripada baki deposit wang jaminan RM193.71 juta sehingga 31 Dis 2024 dalam akaun, Dapat Vista Sdn Bhd didapati melaburkan RM130.8 juta wang berkenaan di bawah nama syarikat serta mengaut faedah antara RM4 juta hingga RM5 juta setahun.

Wang jaminan yang dibayar melalui e-Jamin turut dimasukkan ke dalam akaun komersial syarikat itu dan kegagalan memperakaunkannya ke dalam Akaun
Amanah Disatukan melanggar Perkara 97(1) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 7 Akta Tatacara Kewangan 1957.

PAC juga mendapati pengurusan dana wang jaminan tanpa struktur pemegang amanah, bon pelaksanaan atau insurans, meletakkan penjamin sebagai pemiutang biasa yang terdedah kepada risiko kewangan sekiranya syarikat muflis.

Selain itu, Datuk Mas Ermieyati memaklumkan wujud jurang perbezaan baki sebanyak RM557,258 yang belum disahkan antara rekod sistem e-Jamin dengan penyata bank syarikat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.