
KUALA LUMPUR, 5 Oktober – Kem olahraga para negara berpotensi membawa pulang lebih daripada dua pingat emas yang disasarkan pada temasya Sukan Para Asia 2026 yang bakal berlangsung di Aichi-Nagoya, Jepun.
- CDM harap sasaran perak boleh bertukar menjadi emas jika ada peluang.
- Keyakinan tinggi terhadap semangat juang atlet berdasarkan prestasi temasya lalu.
- Sandaran kepada Datuk Abdul Latif Romly dan Muhammad Ziyad Zolkefli untuk pertahankan gelaran dan pecah rekod dunia.
- Kontinjen mensasarkan keseluruhan enam emas, 10 perak dan 18 gangsa pada temasya akan datang.
Keyakinan disuarakan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke temasya berkenaan, Tan Chee Keong yang percaya sasaran rasmi dua emas, empat perak dan enam gangsa ditetapkan bersama oleh Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) mampu ditingkatkan.
“Sasaran rasmi memang telah diletakkan tetapi saya secara peribadi berharap apa yang berada dalam sasaran perak itu boleh bertukar warna (kepada emas) jika ada peluang.
“Melihat kepada semangat juang atlet pada temasya lalu, saya amat yakin dengan keupayaan kem olahraga kita kali ini,”katanya pada sesi walkabout (CDM) di Trek Mini Stadium Majlis Sukan Negara.
Selain pertambahan kilauan emas, beliau turut meletakkan sandaran kepada dua jaguh utama negara di trek dan padang iaitu Datuk Abdul Latif Romly dan Muhammad Ziyad Zolkefli untuk terus mencetuskan sensasi dengan memperbaharui rekod dunia.
“Kita semua berharap mereka bukan sahaja mempertahankan kejuaraan, malah mampu mencatat satu lagi keputusan yang lebih cemerlang, termasuk kemungkinan memecahkan rekod dunia di sana,”jelasnya.
Kontinjen negara menetapkan sasaran keseluruhan enam pingat emas, 10 perak dan 18 gangsa pada temasya Sukan Para Asia 2026 yang dijadualkan berlangsung di Aichi-Nagoya, Jepun dari 18 hingga 24 Oktober ini.