
BATU GAJAH, 4 Oktober – 40 lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia ditahan selepas disyaki terlibat kegiatan judi sabung ayam di sini pada Sabtu.
- Operasi oleh JSJ Kontinjen Perak dilakukan di rumah pondok Papan Durian Valley, Papan, Batu Gajah kira-kira jam 7 malam.
- Operasi diketuai Bahagian D7 JSJ IPK Perak dengan kerjasama Bahagian D9 IPK Perak, IPD Batu Gajah dan Veterinar Perak.
- Seorang lelaki berusia 50 tahun mengaku penganjur dan pemilik premis; dua individu dipercayai pengadil dan pembantu penganjur.
- Polis merampas wang tunai RM114,211 dan barangan; pertaruhan dilapor sehingga RM20,000 bagi satu pusingan; siasatan lanjut berjalan.
Kesemua mereka ditahan menerusi operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Perak ke atas sebuah rumah pondok di kawasan kebun Papan Durian Valley, Papan, Batu Gajah, kira-kira pukul 7 malam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin menerusi kenyataan memaklumkan, operasi diketuai Bahagian D7 JSJ IPK Perak dengan kerjasama Bahagian D9 IPK Perak, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak.
“Antara yang ditahan termasuk seorang lelaki berusia 50 tahun yang mengaku sebagai penganjur dan pemilik premis, selain dua individu yang dipercayai bertindak sebagai pengadil dan pembantu penganjur.
“Polis turut merampas beberapa barangan dan wang tunai berjumlah RM114,211 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti tersebut,” menurut kenyataan itu.
Siasatan lanjut mendapati kegiatan itu telah beroperasi sejak awal tahun ini dan kadar pertaruhan dikesan mencecah sehingga RM20,000 bagi satu pusingan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 32 Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.