
KUALA LUMPUR, 2 Oktober – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan isu peletakan jawatan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung tidak menjejaskan pembangunan serta peruntukan untuk kawasan berkenaan.
- Ahli Parlimen sudah lama tidak terbabit dalam urusan parti, termasuk tidak menghadiri mesyuarat dan kongres; peletakan jawatan dianggap wajar.
- Peruntukan dan projek pembangunan kawasan akan diteruskan seperti biasa, melibatkan sekolah, rumah ibadat, jalan raya dan kemudahan lain.
- Anwar berhubung dengan Perdana Menteri Nepal dan meminta Peguam Negara mengambil tindakan susulan bagi mempercepat proses perundangan untuk membantu keluarga mangsa.
Menurut Perdana Menteri, ahli parlimen berkenaan juga sudah lama tidak terbabit dalam urusan parti, termasuk tidak menghadiri mesyuarat dan Kongres parti.
“Beliau sudah lama tidak terbabit dalam urusan parti, termasuk tidak pernah menghadiri mesyuarat dan kongres parti. Jadi, saya fikir itu adalah keputusan yang wajar. Jika sudah tidak berminat, tidak ada masalah. Pergilah dengan baik. Terima kasih atas segala sumbangan beliau selama ini,” katanya.
Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika meninjau Kuarters TUDM Sungai Besi tengah hari tadi.
Namun, beliau menegaskan peruntukan pembangunan kawasan tetap berjalan seperti biasa dan tidak bergantung kepada status ahli parlimen.
“Namun, jika dibangkitkan soal peruntukan, peruntukan bagi kawasan berkenaan tidak terjejas. Projek melibatkan sekolah, surau, masjid, kuil, jalan raya dan sebagainya tetap kita pastikan berjalan,” katanya lagi.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa projek pembangunan kawasan akan terhenti sekiranya ahli parlimen berkenaan tidak lagi bersama parti.
Dalam perkembangan berkaitan, ketika ditanya sama ada PKR akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Lee Chean Chung, Datuk Seri Anwar menyerahkan perkara itu kepada Setiausaha Agung dan Jawatankuasa Perundangan parti.
Terdahulu, Perdana Menteri menunaikan Solat Jumaat bersama jemaah di Masjid Abdullah bin Zubair, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi.
Sementara itu, menyentuh mengenai permohonan keluarga mangsa dari Nepal agar kerajaan campur tangan, Datuk Seri Anwar berkata beliau telah berhubung dengan Perdana Menteri Nepal dan mendapat kerjasama kerajaan berhubung perkara itu.
Jelas beliau, Peguam Negara turut diminta mengambil tindakan susulan bagi memudahkan proses perundangan berkaitan.
“Saya telah berbincang dengan Perdana Menteri (Nepal). Beliau bersedia memberikan segala kerjasama. Kami telah meminta Peguam Negara untuk mengambil tindakan susulan,” katanya.
Walaupun terdapat perbezaan tempoh perundangan antara Malaysia dan Nepal, usaha melalui mahkamah masih boleh dilakukan bagi mempercepatkan proses dan membantu keluarga mangsa mendapatkan keputusan.
“Mereka mempunyai undang-undang mereka sendiri, begitu juga kita. Prosesnya mengambil masa enam hingga tujuh tahun, manakala mereka pula tiga tahun.
Namun, kita masih boleh memohon kepada mahkamah dan beliau (Perdana Menter Nepal) memberi jaminan akan memberikan segala kerjasama yang diperlukan bagi memudahkan urusan supaya keluarga terbabit dapat memperoleh keputusan secepat mungkin,” katanya lagi.