Dua pelajar maut, seorang parah nahas dua kenderaan di Tambun

Foto JBPM

IPOH, 2 Oktober – Dua pelajar perempuan maut, manakala seorang lagi cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Taman Perpaduan Ria, Tambun di sini pagi ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas KKM; seorang lagi mengalami kecederaan parah dan separa sedar.
  • Anggota BBP Tambun dan sebuah jentera EMRS dikejarkan; operasi tamat sepenuhnya pada 8.33 pagi.
  • Difahamkan dua mangsa yang maut merupakan adik beradik; mangsa cedera dilaporkan berusia 12 tahun.

Ketiga-tiga mangsa dipercayai dalam perjalanan ke sekolah ketika motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 7.22 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun dikejarkan ke lokasi.

Beliau berkata, tiga mangsa, terdiri daripada penunggang dan pembonceng motosikal berkenaan, tidak tersepit dalam nahas itu.

“Dua daripada mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah dan berada dalam keadaan separa sedar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa yang cedera menerima rawatan awal daripada anggota Perkhidmatan Perubatan Perawatan Kecemasan (EMRS), sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Sabarodzi berkata, dua mangsa yang maut kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang membabitkan tiga anggota BBP Tambun bersama sebuah jentera EMRS itu tamat sepenuhnya pada 8.33 pagi.

Difahamkan, dua mangsa yang maut merupakan adik-beradik, namun identiti mereka masih belum dikenal pasti secara rasmi.

Mangsa yang cedera pula dilaporkan berusia 12 tahun.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.