Siasatan awal dapati pembantu juruterbang Flydubai serang kapten

Foto AFP

ISTANBUL, 2 Oktober – Siasatan awal berhubung insiden sebuah pesawat Flydubai mendarat cemas di Arab Saudi mendapati pembantu juruterbang menyerang kapten pesawat ketika penerbangan sehingga kedua-duanya cedera, menurut Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi (AA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pesawat Flydubai FZ1073 mendarat cemas di Lapangan Terbang Prince Sultan di Tabuk dengan 174 penumpang dan lapan kru.
  • Kapten dan pembantu juruterbang dibawa ke hospital, kemudian dibenarkan melakukan perjalanan ke Abu Dhabi diiringi pasukan keselamatan UAE.
  • Pihak berkuasa Arab Saudi dan UAE memulakan siasatan keselamatan, manakala Flydubai mengesahkan pertengkaran di kokpit sebelum pendaratan cemas.

Kementerian itu memaklumkan siasatan awal dijalankan pihak berkuasa Arab Saudi dengan penyertaan pasukan keselamatan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Penerbangan Flydubai FZ1073 yang sepatutnya terbang dari Dubai ke Tel Aviv diberikan kebenaran untuk melakukan pendaratan cemas pada Rabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Sultan bin Abdulaziz di Tabuk.

Pesawat itu mendarat dengan selamat pada 9.45 pagi waktu tempatan dengan membawa 174 penumpang dan lapan kru.

Pihak berkuasa Arab Saudi memberikan bantuan yang sewajarnya, menurut kementerian itu.

Kira-kira 5.40 petang, semua penumpang meneruskan perjalanan dengan pesawat gantian Flydubai, manakala kru yang lain kembali ke Dubai menerusi penerbangan lain yang dikendalikan syarikat penerbangan itu, menurut kenyataan berkenaan.

Kementerian itu memaklumkan kapten dan pembantu juruterbang dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan berdasarkan penilaian terhadap keadaan kesihatan mereka.

Selepas keadaan kesihatan mereka bertambah baik dan mendapat kebenaran daripada pasukan perubatan untuk melakukan perjalanan, kedua-dua juruterbang itu meninggalkan Arab Saudi menuju ke Abu Dhabi pada awal Khamis dengan diiringi pasukan keselamatan UAE, menurut kementerian itu.

Flydubai sebelum ini memaklumkan bahawa “pertengkaran berlaku di kokpit”, sebelum kru memastikan pesawat berada dalam keadaan selamat dan melencongkannya ke Arab Saudi.

Pegawai lapangan terbang memaklumkan kapten dan pegawai pertama cedera serta dibawa ke hospital susulan kejadian itu. Semua penumpang dan kru dilaporkan selamat dan tiada yang hilang.

Pusat Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Arab Saudi sebelum ini memaklumkan pasukan siasatan keselamatannya telah memulakan siasatan berhubung kejadian itu dan sedang menyelaras dengan pihak berkuasa bagi menentukan keadaan yang membawa kepada kejadian berkenaan, meneliti aspek keselamatan penerbangan serta mengumpul maklumat dan bukti berkaitan.- BERNAMA-ANADOLU

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.