
KUALA LUMPUR, 29 September – Bank Negara Malaysia (BNM) sedang meneliti pendekatan baharu bagi membolehkan institusi kewangan mengambil risiko lebih tinggi secara terkawal, khususnya dalam menyokong usaha peralihan tenaga negara.
- Cabaran menyalurkan modal kepada projek tenaga bersih berimpak tinggi yang dilihat kurang berdaya maju atau kurang menarik secara komersial.
- Pewujudan Climate Finance Innovation Lab menghubungkan pemilik projek, pembiaya, pakar teknikal dan pembuat dasar; 45 projek disokong, keperluan pembiayaan melebihi RM5 bilion.
- Peralihan fokus kepada pelaburan awal untuk mencegah kesan bencana dan keperluan data iklim lebih kukuh bagi keputusan pembiayaan tepat.
Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha bank pusat bagi penyesuaian rangka kerja kawal selia untuk memenuhi keperluan pembiayaan peralihan tenaga.
”Saya percaya modal sememangnya tersedia. Cabaran sebenar ialah sama ada kita mampu menyalurkan modal tersebut kepada projek yang diyakini dan mempunyai potensi pelaburan, pada skala serta kadar yang mencukupi.
”Kekangan yang dihadapi selalunya melibatkan aspek pemadanan. Cabaran utama ialah membiayai projek tenaga bersih berimpak tinggi yang pada zahirnya dilihat tidak berdaya maju atau kurang menarik dari segi komersial,” katanya ketika berucap pada persidangan JC3 Journey to Zero 2026 di sini, hari ini.
Tambah beliau, bagi menangani cabaran itu, platform Climate Finance Innovation Lab (CFIL) telah diwujudkan bagi menghubungkan pemilik projek, pembiaya, pakar teknikal dan pembuat dasar dalam usaha membangunkan penyelesaian pembiayaan yang bersesuaian.
“Setakat ini, sebanyak 45 projek telah menerima sokongan melalui platform berkenaan, dengan keperluan pembiayaan keseluruhan melebihi RM5 bilion,” ujarnya.
Sementara itu katanya, usaha membina daya tahan perlu beralih daripada pembiayaan pemulihan selepas bencana kepada pelaburan awal untuk mencegah dan mengurangkan kesan bencana.
Pada masa sama, data iklim yang lebih kukuh penting bagi membantu sektor kewangan membuat keputusan pembiayaan dan pelaburan yang lebih tepat.