
KUALA LUMPUR, 27 September – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menegaskan institusi Raja-Raja Melayu wajib dipelihara dan dihormati, selain menggesa kemelut membabitkan institusi diraja Negeri Sembilan diselesaikan mengikut Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan proses adat yang sah.
- AMK mendesak Kerajaan MADANI membentangkan segera laporan FELDA, MARA dan NAFAS berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan kehilangan aset.
- Rakyat berhak mengetahui jumlah kerugian, perkembangan pemulihan aset serta tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.
- Kerajaan perlu utamakan peluang pekerjaan berkualiti, gaji setimpal dan peningkatan kemahiran anak muda termasuk perlindungan bagi pekerja gig.
- Pendekatan PRN Melaka mesti berteraskan kepentingan rakyat, pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri bukan kepentingan politik pihak tertentu.
Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim, berkata, sebarang pertikaian berkaitan institusi diraja perlu diselesaikan melalui saluran yang sah tanpa menjejaskan kehormatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan atau kemuliaan institusi diraja.
Beliau berkata penyelesaian itu perlu berasaskan prinsip keadilan, adab dan proses adat, selain mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan politik.
“Raja-Raja Melayu wajib dihormati, undang-undang mesti dipatuhi dan amanah rakyat tidak boleh dikhianati,” katanya dalam kenyataan.
AMK turut menggesa Kerajaan MADANI membentangkan segera laporan berkaitan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan kehilangan aset.
Muhammad Kamil berkata, rakyat berhak mengetahui jumlah kerugian, perkembangan usaha memulihkan aset serta tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Dalam pada itu, AMK mahu kerajaan memberi keutamaan kepada peluang pekerjaan berkualiti, gaji yang setimpal dan peningkatan kemahiran anak muda.
Katanya, pekerja gig juga memerlukan kadar upah yang adil, perlindungan sosial dan mekanisme penyelesaian pertikaian yang telus, manakala isu perumahan belia perlu diberi perhatian.
Beliau berkata, tuntutan itu perlu diterjemahkan melalui dasar dan tindakan kerajaan, khususnya dalam Belanjawan MADANI 2027.
Mengenai PRN Melaka, AMK memaklumkan, jentera di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) tumpuan telah diperkemas, manakala beberapa nama calon muda berwibawa dengan rekod khidmat telah dikemukakan untuk pertimbangan kepimpinan pusat PKR.
AMK juga menegaskan, sebarang kerjasama politik dalam PRN Melaka perlu berteraskan kepentingan rakyat, pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri, bukan sekadar kepentingan politik pihak tertentu.
Dalam pada itu, Muhammad Kamil turut mengumumkan tiga pelantikan baharu dalam AMK, iaitu Mohd Shafiq Iqram Abdullah sebagai Pengarah Strategi, Wan Nur Aishah Ahmad Fazli sebagai Ketua Wilayah Persekutuan dan Mohamad Iqbal Farok sebagai Timbalan Ketua Wilayah Persekutuan.