
ALOR SETAR, 25 September – Kerajaan Persekutuan sedia mempertimbang cadangan mengembalikan keistimewaan status bebas cukai Langkawi bagi membantu memacu semula aktiviti
perniagaan di pulau peranginan itu.
- Sultan Sallehuddin menitahkan Kerajaan Persekutuan mengembalikan keistimewaan Langkawi sebagai pulau bebas cukai seperti sebelum ini.
- Baginda menyatakan status bebas cukai masih kekal tetapi beberapa keistimewaan telah dikurangkan.
- Isu cukai disentuh termasuk kadar terhadap kenderaan, produk berasaskan tembakau dan barangan lain; SUK Kedah turut membangkitkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu susulan titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang mahu kegiatan perniagaan di Langkawi kembali rancak.
Katanya, perkara berkenaan turut dibangkitkan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali pada Majlis Perasmian Skim Usahawan Bangkit Negeri Kedah.
“Walaupun Datuk SUK menyentuh mengenai isu cukai di Langkawi, perkara itu juga perlu dipertimbangkan. Sultan Kedah sebelum ini turut menitahkan supaya kegiatan perniagaan di Langkawi kembali diperkasa.
“Saya bersetuju dan sedia pertimbang,” katanya ketika berucap merasmikan majlis berkenan di Dewan Kompleks Persekutuan Muadzam Shah di sini.
Sultan Sallehuddin pada Istiadat Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah bertitah supaya Kerajaan Persekutuan mengembalikan status Langkawi sebagai pulau bebas cukai dengan keistimewaan yang dinikmati sebelum ini.
Titah baginda, status Langkawi sebagai pulau bebas cukai masih kekal, namun beberapa keistimewaan yang sebelum ini dinikmati telah dikurangkan.
Antara perkara yang disentuh termasuk pelaksanaan kadar cukai terhadap kenderaan yang dihadkan, selain cukai terhadap produk berasaskan tembakau dan barangan lain.