
NEW YORK, 24 September – Presiden Iran, Masoud Pezeshkian berkata negara itu bersedia berunding dan bekerjasama, namun tidak akan menerima paksaan untuk membuat konsesi melalui tekanan kuasa, sekatan atau ancaman ketenteraan.
- Iran sedia berunding dan bekerjasama, tetapi menolak paksaan, sekatan dan ancaman ketenteraan untuk paksa konsesi.
- Keamanan mesti berasaskan keadilan, kesaksamaan, maruah dan hak sama rata bagi semua negara.
- Pertahanan dan teknologi nuklear aman dijadikan jaminan keselamatan; tegas menolak hegemoni dan gesa keselamatan bersama melalui kerjasama serantau.
Berucap pada sesi ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) pada Rabu, Pezeshkian berkata keamanan perlu berasaskan keadilan, kesaksamaan, maruah serta hak sama rata bagi semua negara.
Dalam ucapan pada sesi Debat Umum Perhimpunan Agung PBB itu, beliau menegaskan pendirian Iran dalam mempertahankan keselamatan negara, kedaulatan serta penggunaan teknologi nuklear secara aman.
Katanya, keupayaan pertahanan Iran merupakan jaminan penting bagi mengelakkan ancaman luar, sambil menolak usaha mendapatkan keselamatan melalui pendekatan hegemoni.
Pezeshkian turut mengkritik apa yang disifatkannya sebagai sikap dwistandard sesetengah negara berhubung isu nuklear Iran dan persoalan Palestin.
Menurutnya, pendudukan, pencerobohan dan ketidakadilan yang berterusan akan meningkatkan konflik di rantau berkenaan.
Beliau berkata peperangan dan kekuatan ketenteraan tidak boleh menggantikan undang-undang antarabangsa atau dialog diplomatik dan politik.
Sehubungan itu, beliau menggesa usaha mencapai keselamatan bersama menerusi kerjasama serantau.- REUTERS