Kerjasama kerajaan, universiti, industri penting rapatkan jurang pengkomersialan penyelidikan

Timbalan Perdana Menteri semasa merasmikan University Research and Innovation Investment Summit 2026 (URIIS 2026)/ Foto FB Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 22 September – Malaysia perlu menutup jurang antara penyelidikan dengan komersialisasi bagi memastikan lebih banyak teknologi tempatan dapat diterjemahkan kepada produk, harta intelek serta syarikat milik Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kekurangan rakan kongsi, modal dan laluan berkembang menghalang terjemahan penyelidikan kepada projek rintis dan komersialisasi.
  • Kerajaan, universiti, industri dan pelabur perlu bekerjasama lebih rapat untuk menyediakan sokongan dan peluang pelaburan.
  • Laksanakan berterusan program menghubungkan penyelidikan universiti dengan keperluan industri bagi memperkukuh ekosistem inovasi negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun negara mempunyai asas kukuh dalam penyelidikan dan inovasi, banyak teknologi berpotensi masih berdepan cabaran untuk diterjemahkan daripada hasil penyelidikan kepada projek rintis, sebelum dikomersialkan dan diperluas ke pasaran.

“Daripada pengalaman saya, masalahnya bukan semestinya kualiti penyelidikan. Lebih kerap, ia berpunca daripada kekurangan rakan yang tepat, modal atau laluan untuk berkembang.

“Inilah ruang di mana kerajaan, universiti, industri dan pelabur perlu bekerjasama dengan lebih rapat,” katanya ketika berucap merasmikan University Research and Innovation Investment Summit (URIIS) 2026, di sini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, Malaysia tidak seharusnya sekadar berbangga dengan produk buatan tempatan, sebaliknya perlu menyasarkan peningkatan teknologi yang dicipta dan dimiliki oleh rakyat serta syarikat tempatan.

“Malaysia perlu memastikan kepakaran dan bakat yang dibangunkan melalui pelaburan negara dalam bidang teknologi akhirnya diterjemahkan kepada teknologi, harta intelek dan syarikat tempatan yang mampu bersaing di peringkat global,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan melaksanakan secara berterusan program yang menghubungkan penyelidikan universiti dengan keperluan industri serta peluang pelaburan bagi memperkukuh ekosistem inovasi negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.