Belanjawan Selangor 2027: Pembangunan sukan perlu diperkasa

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 20 September – Aspek pembangunan sukan antara perkara yang diharap diberi perhatian dalam Belanjawan Selangor 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan khas bagi pembangunan sukan untuk memastikan kesinambungan latihan atlet dan pelaksanaan Rancangan Selangor Kedua.
  • Naik taraf serta penyelenggaraan infrastruktur sukan sedia ada bagi menyokong pencapaian atlet ke peringkat lebih tinggi.
  • Belanjawan perlu juga memberi perhatian kepada pendidikan termasuk meneruskan program Tuisyen Rakyat dan projek infrastruktur setempat.

ADUN Sri Serdang, Abbas Azmi berkata, perkara itu penting susulan kejayaan Selangor muncul juara pada Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA Selangor 2026.

Sehubungan itu, peruntukan khusus diperlukan bagi memastikan kesinambungan pembangunan atlet serta pengukuhan infrastruktur sukan di negeri itu.

“Harapan saya kali ini antaranya berkaitan peruntukan untuk pembangunan sukan. Kita sudah menjadi juara SUKMA dan Para SUKMA, ini bermakna perkara tersebut perlu diberi perhatian khusus oleh Kerajaan Negeri Selangor.

“Terutama untuk kita melaksanakan apa yang terkandung dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2). Pada pandangan saya, perkara itu perlu diberi perhatian dan peruntukan khas bagi memastikan atlet kita terus berjaya ke peringkat lebih tinggi.

“Sebab itu, infrastruktur sukan yang ada di negeri Selangor perlu dinaik taraf. Infrastruktur yang sudah dinaik taraf pula perlu diselenggara dan dikekalkan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program “Kita Selangor” di Konti SelangorFM, Angkasapuri, di sini.

Dalam pada itu, Abbas Azmi turut berharap agar aspek pendidikan turut diberi perhatian menerusi Belanjawan Selangor 2027, termasuk meneruskan pelaksanaan program Tuisyen Rakyat.

Selain itu, beberapa projek infrastruktur sedang dilaksanakan di kawasan Sri Serdang, termasuk projek berkaitan pengurusan trafik dan tebatan banjir.

Langkah tersebut bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati penduduk setempat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.