Melaka perkasa usaha ke arah negeri rendah karbon

Datuk Seri Ab Rauf Yusoh/ RTM

BANDARAYA MELAKA, 21 September- Melaka berusaha menjadi sebuah negeri rendah karbon menerusi peningkatan kesedaran masyarakat, pengurusan sisa dan penggunaan tenaga hijau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketua Menteri menyeru komitmen masyarakat dan pendekatan bersepadu untuk mencegah pencemaran sungai akibat pembuangan sampah.
  • Kerajaan negeri menyasar penambahan sehingga 300 stesen pengecas kenderaan elektrik bagi memenuhi keperluan penduduk dan pelancong.
  • Melaka menambah bekalan tenaga hijau menerusi ladang solar berskala besar dan inisiatif Solarmel untuk kediaman.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata usaha menjaga kelestarian alam sekitar perlu dilaksanakan secara bersepadu dan tidak hanya bergantung kepada penguatkuasaan.

Beliau berkata komitmen masyarakat amat penting khususnya bagi memastikan sungai tidak terus tercemar akibat pembuangan sampah.

“Saya harap kita sama-sama menjaga kebersihan sungai kerana ia sumber air utama kepada kehidupan kita. Kalau kita kotorkan sungai, kita juga akan menerima kesan daripada perbuatan kita itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Kebangsaan 2026 di sini.

Dalam pada itu, kerajaan negeri menyasarkan penambahan sehingga 300 unit pusat pengecasan kenderaan elektrik (EV) di seluruh Melaka bagi memenuhi keperluan penduduk dan pelancong di negeri itu.

Melaka turut mempunyai kawasan ladang solar yang besar bagi menjana tenaga elektrik untuk dibekalkan semula kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Selain itu, inisiatif Solarmel menawarkan pemilik rumah pilihan menggunakan tenaga solar sebagai sumber tenaga alternatif kepada bekalan elektrik konvensional.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan sebarang rundingan dengan parti politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dibuat melalui saluran rasmi.

Beliau merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka berkata surat rasmi akan dikemukakan kepada semua parti bagi mendapatkan pandangan sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Saya amat menghormati semua parti yang berminat untuk bersama-sama dengan kita tetapi apa juga perbincangan ini tertakluk kepada perbincangan rasmi yang akan kita lakukan nanti. Jadi, jangan berunding melalui media sosial, ” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.