
TOKYO, 21 September – Sekurang-kurangnya 275 penerbangan dibatalkan di Jepun pada Isnin, ketika Taufan Dujuan semakin menghampiri Tokyo.
- Japan Airlines membatalkan 120 penerbangan domestik dan 15 antarabangsa; All Nippon Airways membatalkan 140 penerbangan domestik; kereta api menggantung beberapa laluan.
- Agensi Meteorologi Jepun memberi amaran hujan mungkin melebihi purata bulan September, berisiko hujan lebat rekod dan tanah runtuh.
- Tokyo Game Show ditutup awal; festival muzik dan perlawanan besbol di Chiba turut dibatalkan.
Taufan, yang disertai angin kencang itu turut menyebabkan salah satu pameran perdagangan permainan video terbesar dunia di ibu negara Jepun itu ditutup awal serta mengakibatkan gangguan bekalan elektrik kepada ribuan penduduk.
Agensi Meteorologi Jepun (JMA) memberi amaran pada Ahad bahawa hujan dan angin dijangka bertambah kencang walaupun sebelum ketibaan taufan itu.
“Jumlah taburan hujan sehingga Selasa mungkin melebihi purata hujan bulanan bagi bulan September, sekali gus mengakibatkan hujan lebat yang memecahkan rekod,” menurut agensi itu.
Kelajuan angin taufan itu, mencecah 144 kilometer (89 batu) sejam ketika ribut tersebut berada kira-kira 110 kilometer dari Hachijojima, salah sebuah pulau paling jauh di Tokyo.
Pada Isnin, lebih 4,000 isi rumah di Chiba, kawasan yang berjiran dengan Tokyo mengalami gangguan bekalan elektrik, manakala JMA dan pihak berkuasa tempatan memberi amaran kepada penduduk mengenai hujan lebat dan kemungkinan berlaku tanah runtuh.
Japan Airlines membatalkan 120 penerbangan domestik dan 15 penerbangan antarabangsa, manakala All Nippon Airways membatalkan 140 penerbangan domestik.
Pengendali perkhidmatan kereta api di Tokyo dan wilayah berhampiran turut menggantung operasi di beberapa laluan.
Tokyo Game Show, salah satu pameran perdagangan permainan video terbesar di dunia yang bermula pada Khamis telah dibatalkan pada Isnin, iaitu hari terakhir acara tersebut.
Turut dibatalkan, festival muzik dan perlawanan besbol yang dijadualkan berlangsung di Chiba. -AFP