Sokongan ibu bapa terhadap pendidikan anak perlu diperkasa

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 19 September – Sokongan ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak perlu diperkasa susulan kemerosotan tahap sokongan berkenaan yang dikesan dalam laporan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) terkini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sokongan ibu bapa bermaksud komunikasi dan perhatian terhadap perkembangan anak, bukan menguasai kurikulum atau menggantikan kerja sekolah mereka.
  • Penglibatan alumni, Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta komuniti perlu diperkasa untuk menyokong pendidikan anak.
  • Sokongan ibu bapa berkorelasi dengan ketahanan diri murid dan memberi kesan langsung kepada pencapaian pendidikan mereka.
  • Buli siber ancam kesejahteraan murid; ibu bapa, sekolah dan komuniti mesti membimbing penggunaan telefon pintar dan media sosial bertanggungjawab.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, isu itu antara kebimbangan yang perlu diberi perhatian segera selain kemerosotan prestasi Matematik.

Menurutnya, sokongan ibu bapa tidak bermakna mereka perlu menguasai kurikulum atau membantu kerja sekolah anak secara langsung, sebaliknya lebih kepada komunikasi dan perhatian terhadap perkembangan anak di sekolah.

“Yang dimaksudkan dengan sokongan itu, pertama, bukannya kita perlu menghafal semua kurikulum anak-anak kita kerana kurikulum itu memang dibuat untuk mereka, bukan untuk ibu bapa. Bukannya juga kita minta ibu bapa duduk tiga jam membuat kerja sekolah bersama mereka.

“Sebaliknya, sokongan yang diperlukan adalah dengan bertanya kepada anak-anak kita. ‘Kamu okey hari ini? Bagaimana sekolah? Bagaimana guru dan rakan-rakan? Ada buli di sekolah?’ Itu yang diperlukan oleh anak-anak kita,” katanya.

Beliau berkata, usaha memperkukuh sokongan terhadap pendidikan anak-anak turut memerlukan penglibatan alumni, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti.

Katanya, terdapat hubungan antara sokongan ibu bapa dengan ketahanan diri murid dalam menghadapi pelbagai cabaran.

“Pertama, sokongan ibu bapa kepada pendidikan anak-anak merosot teruk, menjunam di Malaysia dan negara-negara lain. Ini menunjukkan bahawa apabila ibu bapa tidak menyokong pendidikan anak-anak, ia memberikan kesan langsung kepada mereka, termasuk dari segi ketahanan diri serta sokongan terhadap pendidikan mereka.

“Kerana akhirnya yang penting bagi kita, ibu bapa, adalah usaha mereka. Ini mempunyai korelasi dengan apa yang turut dibuktikan dalam laporan itu, bahawa anak-anak kita adalah antara pelajar yang paling berdaya tahan di dunia. Datanglah apa jua cabaran, anak-anak kita mampu mengharunginya dan mereka kekal dalam sistem pendidikan yang baik,” ujarnya.

Datuk Seri Fadhlina berkata demikian ketika berucap pada Malam Gala 100 Tahun TIKL, anjuran Persatuan Alumni Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur di ibu negara.

Seramai 300 alumni institusi berkenaan dari tahun 1969 hingga 2026 hadir memeriahkan acara tersebut yang turut menyaksikan pelancaran buku meja kopi sempena 100 tahun penubuhan institusi pendidikan itu.

Pada majlis sama, Datuk Seri Fadhlina turut mengumumkan sumbangan RM150,000 bagi tujuan penyelenggaraan sekolah.

Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap isu buli siber yang disifatkan boleh menjejaskan pendidikan dan kesejahteraan murid.

Katanya, berbeza dengan buli tradisional yang lazimnya berlaku dalam persekitaran sekolah, buli siber boleh berterusan sehingga ke rumah menerusi penggunaan telefon pintar dan media sosial.

“Amaran kedua yang diberikan oleh Bank Dunia adalah mengenai buli siber. Walaupun kadarnya di Malaysia kurang daripada lima peratus, ia masih antara yang tertinggi di dunia.

“Kalau buli tradisional, ia berakhir setakat pagar sekolah. Tetapi buli siber ikut anak-anak kita masuk ke bilik tidur, masuk ke rumah, ruang tamu dan dapur, semuanya melalui telefon pintar.

“Itulah antara kebimbangan kita apabila anak-anak tidak mendapat pedoman tentang cara menggunakan telefon pintar dan media sosial dengan betul, kerana buli siber boleh menjejaskan pendidikan mereka,” katanya.

Beliau menambah, ibu bapa, sekolah dan komuniti perlu memainkan peranan bersama dalam membimbing anak-anak menggunakan telefon pintar serta media sosial secara bertanggungjawab.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.