Pengampunan bersyarat DS Najib tidak ubah status kes 1MDB – SPRM

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak / Foto fail BERNAMA

KAJANG, 19 September – Status kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak kekal tidak berubah walaupun bekas Perdana Menteri itu diberikan pengampunan bersyarat.

RINGKASAN BERITA AI
  • SPRM: Setiap kes dikendalikan secara berasingan berdasarkan isu, aduan dan skop siasatan; kes tidak boleh disamakan antara satu sama lain.
  • Pengampunan bersyarat mengizinkan tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk pembayaran denda RM50 juta dan pematuhan syarat ditetapkan.
  • Menteri Komunikasi menegaskan semua kes termasuk yang sedang berjalan terus diproses mengikut landasan undang-undang.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, kes-kes yang masih dalam siasatan atau belum selesai akan terus dikendalikan mengikut status sedia ada.

“Setiap kes perlu dikendalikan secara berasingan berdasarkan isu, aduan dan skop siasatan yang terlibat, justeru sesuatu kes tidak boleh disamakan dengan kes lain.

Bagi pihak kami, kes-kes yang masih tertangguh akan kekal seperti biasa. Seperti yang ada sekarang, status quo kekal,” katanya pada sidang media selepas Program Menembak SPRM Bersama Media di Lapang Sasar Maktab Penjara Kajang, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pengampunan bersyarat yang diberikan kepada Datuk Seri Najib akan memberi kesan terhadap kes 1MDB dan proses rayuan yang masih berjalan.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib bagi menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat yang ditetapkan.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri memaklumkan keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara.

Datuk Seri Najib, 73 tahun, sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil semalam menegaskan semua kes, termasuk kes Datuk Seri Najib yang sedang berjalan serta kes rasuah lain, akan terus diproses mengikut landasan undang-undang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.