UM lancar sambutan ulang tahun ke-121

Foto UM

KUALA LUMPUR, 19 September – Universiti Malaya (UM) terus komited memperkukuh peranan dan sumbangannya kepada negara bersempena pelancaran Sambutan Ulang Tahun UM Ke-121 (UM121) hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • UM121 mengimbas sejarah dari King Edward VII College of Medicine (1905 di Singapura) hingga penubuhan UM pada 8 Oktober 1949.
  • Pihak pengurusan tekad memastikan UM terus relevan, menyumbang kepakaran, penyelidikan dan impak nyata kepada masyarakat serta negara.
  • Sultan Perak merasmikan sambutan; maskot rasmi dan lagu UM121 turut dilancarkan dalam majlis tersebut.
  • Sambutan berterusan sepanjang tahun dengan program memaparkan sejarah, pencapaian, penyelidikan, alumni dan sumbangan warga UM.

Naib Canselor UM, Prof Datuk Seri Ir Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, UM121 bukan sekadar meraikan usia institusi berkenaan, sebaliknya menjadi medan mengimbas kembali sejarah dan legasi yang dibina bermula sebagai King Edward VII College of Medicine pada 28 September 1905 di Singapura , sebelum tertubuhanya UM pada 8 Oktober 1949 di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, sambutan berkenaan turut membawa tanggungjawab lebih besar kepada UM untuk terus relevan, menyumbang kepakaran serta memberi impak nyata kepada masyarakat dan negara.

“Hasrat saya dan pihak pengurusan adalah untuk memastikan UM terus dikenali bukan sahaja kerana kecemerlangan akademik, tetapi juga menerusi hasil penyelidikannya, kualiti warganya, serta sahsiah pelajarnya dalam memberi sumbangan dan impak kepada negara serta masyarakat global.

“Mengambil kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat menyambut ulang tahun ke-121 UM kepada semua.

“Ingin saya kongsikan bahawa UM bukan lagi sekadar milik warga kampusnya, sebaliknya ia kini sudah menjadi milik seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim merasmikan majlis sambutan itu di sini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Mengangkat tema “121 Tahun Kecemerlangan, Menyulam Masa Depan”, UM121 meraikan sumbangan generasi terdahulu yang telah membentuk universiti.

Dalam majlis sama, Baginda yang juga Canselor UM turut melancarkan maskot rasmi UM serta lagu rasmi UM121 .

Sambutan UM121 akan diteruskan menerusi pelbagai program dan pengisian sepanjang tahun yang mengetengahkan sejarah dan legasi Uuniversiti, pencapaian semasa, penyelidikan dan inovasi, alumni serta sumbangan warga UM kepada masyarakat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.