
KUALA LUMPUR, 19 September- Usaha meningkatkan pendapatan pekerja tidak boleh hanya bergantung kepada dasar pengagihan semula pendapatan, sebaliknya perlu disokong dengan penambahbaikan struktur ekonomi negara.
- Tumpuan kepada peningkatan produktiviti buruh dan nilai tambah ekonomi melalui pembangunan sektor pembuatan berteknologi tinggi dan sektor berkemahiran tinggi.
- Syarikat perlu melabur dalam pendidikan, latihan dan teknologi bagi meningkatkan produktiviti serta mewujudkan pekerjaan berkualiti.
- Selaraskan isu tenaga kerja dalam rundingan perdagangan dan pelaburan, kukuhkan kuasa rundingan pekerja serta laksana gaji hidup oleh agensi kerajaan.
Penyelidik Institut Penyelidikan Permodalan Nasional Berhad (PNBRI), Farhana Roslan berkata, penambahbaikan itu merangkumi peningkatan produktiviti buruh, nilai tambah ekonomi serta pengukuhan perlindungan dan kuasa rundingan pekerja.
“Fokus pertama adalah untuk meningkatkan produktiviti dan nilai tambah ekonomi, iaitu dengan menumpukan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia, seperti dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi dan bernilai tambah besar, serta sektor yang berasaskan kemahiran tinggi.
“Pada masa yang sama, kebergantungan kepada sektor perkhidmatan, terutama sektor peruncitan yang bernilai tambah rendah juga perlu dikurangkan,” katanya ketika dihubungi RTM.
Tambah beliau, peningkatan produktiviti buruh turut memerlukan keupayaan firma untuk melabur dalam pendidikan, latihan dan peningkatan taraf teknologi, sekali gus dapat mewujudkan pekerjaan yang berkualiti.
“Kenaikan gaji tidak boleh dilakukan secara paksa atau atas dasar arahan kerana tanpa peningkatan produktiviti yang seiring, majikan mungkin terpaksa menaikkan harga barangan dan perkhidmatan bagi menampung peningkatan kos buruh. Apabila gaji naik tetapi harga barang turut meningkat, kita akhirnya kembali ke titik permulaan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, katanya aspek tenaga kerja dalam rundingan perdagangan dan pelaburan juga perlu diselaraskan bagi mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti serta menyokong pertumbuhan gaji dalam jangka panjang.
“Ini penting bagi mengimbangi kuasa tawar-menawar pekerja, termasuk melalui institusi seperti Majlis Perundingan Negara dan Majlis Perundingan Gig.
“Komitmen terhadap pelaksanaan gaji kehidupan wajar oleh agensi-agensi kerajaan juga memainkan peranan penting dalam konteks ini bagi memastikan agihan ekonomi yang lebih saksama dan berdaya maju,” ujarnya.