Eksport Malaysia diunjur atasi sasaran 22% – MBSB IB

Gambar Hiasan /RTM

KUALA LUMPUR, 18 September – MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) menjangkakan eksport Malaysia mampu berkembang melepasi unjuran semasanya sebanyak 22 peratus untuk keseluruhan 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Prestasi eksport Ogos mengukuh dengan eksport domestik 46.0% dan eksport semula 43.3% mengatasi jangkaan.
  • Import berpotensi melepasi unjuran 16% tahun ini, naik daripada 6.0% pada 2025.
  • Permintaan kukuh terhadap produk E&E dan teknologi menyokong eksport, namun risiko bekalan, kos input, permintaan akhir dan ketegangan perdagangan tetap wujud.
  • Volum eksport dan import meningkat ketara, menandakan pertumbuhan perdagangan didorong oleh aliran penghantaran bukan semata-mata kesan harga.

Bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan memaklumkan, prestasi positif itu mampu dicatatkan sekiranya momentum kukuh ketika ini berterusan dalam masa beberapa bulan akan datang.

Menurut MBSB IB, unjuran itu jauh lebih tinggi berbanding pertumbuhan eksport 6.6 peratus yang dicatatkan pada 2025.

”Import juga berpotensi melepasi unjuran 16 peratus tahun ini daripada 6.0 peratus pada 2025.

“Permintaan yang kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) serta produk teknologi akan terus memacu permintaan luaran, namun prospek itu masih terdedah kepada beberapa risiko seperti gangguan bekalan, kos input tinggi, permintaan akhir yang lebih lemah dan ketegangan perdagangan yang kembali memuncak,” menurut firma itu.

Tambahnya, pertumbuhan eksport bagi Ogos 2026 mengukuh kepada 45.5 peratus, mengatasi jangkaan pasaran dan unjurannya, disokong eksport domestik sebanyak 46.0 peratus serta eksport semula pada 43.3 peratus.

Katanya, import turut mencatatkan pertumbuhan lebih pantas pada kadar 41.1 peratus tahun ke tahun, didorong peningkatan pembelian barangan perantaraan dan barangan modal.

”Pertumbuhan kukuh import barangan perantaraan dan modal dijangka berterusan sejajar dengan permintaan yang lebih tinggi, selain kesan kenaikan harga.

”Firma penyelidikan itu berkata pertumbuhan volum turut kekal sebagai pemacu penting prestasi perdagangan luaran Malaysia,” jelasnya.

Data terkini bagi Julai menunjukkan volum eksport meningkat 27.7 peratus tahun ke tahun, manakala volum import berkembang 25 peratus.

Peningkatan volum yang ketara menunjukkan pertumbuhan perdagangan baru-baru ini lebih banyak didorong oleh peningkatan aliran penghantaran dan bukan semata-mata kesan harga.

”Sementara itu, lebihan dagangan Malaysia meningkat kepada RM28.1 bilion pada Ogos daripada RM22.5 bilion pada Julai.

Malaysia dijangka terus mencatatkan lebihan dagangan, disokong lebihan berterusan dalam produk E&E, minyak sawit, gas asli cecair (LNG) serta beberapa produk perkilangan terpilih,” menurut MBSB IB.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.