
PUTRAJAYA, 18 September – Kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan bahan api negara mencukupi sehingga Disember 2026, meskipun pasaran tenaga global kembali berdepan tekanan berikutan perkembangan geopolitik di Asia Barat.
- Kerajaan melaksanakan strategi tiga pendekatan: kepelbagaian import, pengoptimuman pengeluaran domestik dan perjanjian bekalan jangka panjang.
- Malaysia dan Thailand memperkukuh kerjasama tenaga melalui PSC dan GSA bagi Blok A-18-01, membuka peluang pelaburan dan mengekalkan pengeluaran.
- Pasaran antarabangsa menyesuaikan sejak Mac 2026; kerajaan utamakan fungsi rantaian bekalan domestik, bekalan asas dan kesejahteraan rakyat.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, jaminan itu dilaksanakan menerusi tiga pendekatan iaitu mempelbagaikan sumber import, mengoptimumkan pengeluaran bahan api domestik dan memperkukuh perjanjian bekalan jangka panjang.
“Strategi kepelbagaian sumber bekalan terus diperkukuh dengan mendapatkan minyak mentah dan produk petroleum dari pelbagai rantau, termasuk Benua Amerika, selain meneroka sumber alternatif dari Benua Afrika.
“Langkah ini bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana satu negara atau laluan bekalan, khususnya ketika aliran perdagangan tenaga dari Asia Barat terus berdepan ketidaktentuan,” katanya pada Taklimat Krisis Bekalan Global selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) Bilangan 15 Tahun 2026, di Bangunan Perdana Putra, di sini.
Menurut beliau, Malaysia dan Thailand turut memperkukuh kerjasama tenaga menerusi pemeteraian kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) dan perjanjian jualan gas (GSA) bagi Blok A-18-01 di Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand.
Kerjasama itu sekali gus membuka peluang pelaburan, mengekalkan pengeluaran dan menjamin nilai jangka panjang kepada kedua-dua negara.
Tambah beliau, pasaran antarabangsa telah melakukan penyesuaian sejak Mac 2026 melalui pelarasan inventori, pengoptimuman sumber bekalan dan pengalihan laluan perdagangan bagi mengurangkan kesan gangguan terhadap bahan mentah serta input pengeluaran.
“Krisis bekalan global kini beralih daripada fasa mengurus kejutan sementara kepada fasa mengurus risiko ekonomi yang dijangka berterusan.
“Keutamaan kerajaan adalah memastikan rantaian bekalan domestik terus berfungsi, bekalan keperluan asas mencukupi dan tekanan kos global tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat serta kelangsungan aktiviti ekonomi secara berlebihan,” jelasnya.