Media sosial cabaran baharu kesihatan mental belia

Datuk Seri Dr Wan Azizah merangkap Pengerusi KASIH Malaysia melakukan gimik pelancaran Inisiatif Hab Rakan Sokongan SEHAT dan Talian Belia SEHAT/ Foto BERNAMA

PETALING JAYA, 18 September Penggunaan media sosial secara meluas kini menjadi antara cabaran baharu terhadap kesihatan mental golongan belia apabila mereka terdedah kepada buli siber, ejekan berkaitan penampilan fizikal serta tekanan akibat perbandingan sosial.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dominasi media sosial mengubah gaya hidup belia dan menimbulkan tekanan yang boleh berlaku pada bila-bila masa.
  • Tingkah laku agresif dalam talian boleh berterusan melalui telefon dan platform, berbeza dengan interaksi bersemuka.
  • Jangan mudah terpengaruh dengan gambaran kehidupan di media sosial; elakkan perbandingan pencapaian diri dengan orang lain.
  • Semak kesahihan maklumat yang diterima melalui media sosial dan segera dapatkan bantuan jika menghadapi tekanan, jangan memendam seorang diri.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (KASIH Malaysia), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perubahan gaya hidup yang pantas dan dominasi media sosial telah mengubah landskap kehidupan seharian golongan muda.

Keadaan itu menyebabkan golongan berkenaan berdepan tekanan yang boleh berlaku pada bila-bila masa, termasuk ketika berada di rumah.

Menurut beliau, berbeza dengan buli secara bersemuka yang lazimnya terhad kepada lokasi atau persekitaran tertentu, buli siber boleh berterusan menerusi telefon dan platform media sosial.

“Ini yang kita tak mahu. Yang kita mahu kesihatan, kekuatan mental untuk mengatasi semua ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Inisiatif Hab Rakan Sokongan SEHAT dan Talian Belia SEHAT bersempena Kempen Sifar Buli Negeri Selangor 2026, di sini.

Datuk Seri Dr Wan Azizah turut mengingatkan golongan muda supaya tidak mudah terpengaruh dengan gambaran kehidupan yang dipaparkan di media sosial, khususnya kecenderungan membandingkan kehidupan atau pencapaian diri dengan orang lain.

Maklumat yang diterima menerusi media sosial juga perlu disemak terlebih dahulu bagi memastikan kesahihan dan ketepatannya.

“Jangan tertipu. Dalam Islam, kita ada hadis sahih, hadis yang kuat, ada hadis yang tidak betul, palsu. Yang sama juga dengan media sosial. Semak fakta dan semak sama ada ia sahih atau tidak. Jangan percaya terus-terus,” katanya.

Beliau turut menasihati golongan muda yang berdepan masalah atau tekanan supaya mendapatkan bantuan dan tidak memendam seorang diri.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.