
KUALA LUMPUR, 18 September – Perdagangan Malaysia terus mencatat pencapaian memberangsangkan dengan melonjak 43.4 peratus kepada RM354.01 bilion pada Ogos 2026.
- Eksport meningkat 45.5% kepada RM191.05 bilion pada Ogos, menyumbang kepada prestasi perdagangan yang kukuh.
- Lebihan dagangan RM28.09 bilion, mengekalkan rekod lebihan 76 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.
- Pertumbuhan eksport dikuatkan oleh barangan perkilangan dan hasil galian, terutamanya E&E, petroleum, LNG serta bijih dan serpihan logam.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan memaklumkan, prestasi positif itu disokong kenaikan eksport 45.5 peratus kepada RM191.05 bilion.
”Import pula berkembang sebanyak 41.1 peratus kepada RM162.96 bilion.
”Ini menjadikan lebihan dagangan sebanyak RM28.09 bilion, meneruskan rekod lebihan dagangan 76 bulan berturut-turut sejak Mei 2020,” menurut kenyataan tersebut.
Tambah kementerian tersebut, pertumbuhan eksport didorong oleh peningkatan eksport barangan perkilangan dan hasil galian, khususnya barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum, gas asli cecair (LNG) serta bijih logam dan serpihan logam.
Pengukuhan berterusan barangan utama ini terus menyokong pertumbuhan keseluruhan eksport, dengan eksport barangan E&E mencecah RM656.14 bilion bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, sekali gus berada pada landasan untuk mengatasi nilai eksport keseluruhan tahun 2025.
Tambah MITI, Malaysia turut merekodkan peningkatan eksport ke rakan dagang utama pada Ogos 2026, merentasi pasaran ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Kesatuan Eropah (EU).
Eksport ke AS dan China merekodkan nilai bulanan tertinggi setakat ini, mencerminkan permintaan kukuh yang berterusan daripada dua rakan dagang utama tersebut.
Peningkatan eksport turut dicatatkan ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), termasuk Hong Kong, Jepun, Mexico, Korea, India, United Kingdom (UK), Türkiye, Pakistan, Kanada, Peru dan Chile, yang menunjukkan peluasan berterusan Malaysia dalam pasaran serantau dan global.
”Untuk tempoh lapan bulan pertama 2026, perdagangan naik 27.0 peratus kepada RM2.514 trilion dengan eksport terus berkembang pada kadar lebih pantas berbanding import, meningkat 31.2 peratus kepada RM1.356 trilion, manakala import bertambah 22.4 peratus kepada RM1.158 trilion.
”Lebihan dagangan bernilai RM198.66 bilion, melebihi dua kali ganda berbanding nilai yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun sebelumnya,” jelas kenyataan itu.
Melangkah ke hadapan, MITI memaklumkan Malaysia akan terus memperkukuh asas bagi pertumbuhan perdagangan yang mampan melalui peluasan pasaran, peningkatan daya saing industri strategik serta usaha memperkukuh kedudukan pengeksport tempatan bagi memanfaatkan peluang baharu di pasaran global.
Penggunaan FTA yang lebih meluas serta penglibatan yang lebih mendalam dalam pasaran sedia ada dan pasaran baharu akan membuka ruang kepada pengembangan eksport yang lebih kukuh.
Di samping itu, usaha beralih kepada aktiviti bernilai tambah lebih tinggi akan terus memperkukuh asas eksport dan kedudukan perdagangan Malaysia dalam jangka panjang.