
IPOH, 18 September – Operasi sebuah kuari di Simpang Pulai, di sini, diarahkan tutup sementara susulan kemalangan maut yang mengorbankan seorang pemandu lori, Isnin lalu.
- JKKP Perak mengeluarkan Notis Larangan dan Surat Arahan untuk membolehkan siasatan keselamatan dijalankan.
- Operasi dibenarkan disambung selepas tindakan pembetulan keselamatan dilaksanakan dan laporan jururunding diperoleh.
- Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 dan 18 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
- Mangsa lelaki tempatan berusia 53 tahun maut selepas lori dipandunya dihempap bongkah batu dari kawasan bukit.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak mengeluarkan Notis Larangan dan Surat Arahan bagi membolehkan siasatan keselamatan dijalankan.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, Datuk A. Sivanesan berkata, operasi kuari hanya akan dibenarkan untuk disambung semula selepas tindakan pembetulan keselamatan dilaksanakan.
“Pada masa sama, kita juga telah mendapatkan laporan daripada jururunding sebelum tindakan susulan berkaitan keselamatan ditentukan. Namun, berdasarkan rekod, syarikat berkenaan tidak pernah mengalami kejadian seumpama itu sebelum ini,” katanya selepas mengadakan lawatan ke lokasi insiden di Simpang Pulai, hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17 dan 18 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang Isnin lalu, mangsa, lelaki tempatan berusia 53 tahun, maut selepas lori dipandunya dihempap bongkah batu besar yang bergerak dari kawasan bukit.
Mangsa yang sedang menunggu untuk memasuki kawasan kuari tersepit di dalam kabin lori sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 5.50 petang.