
JAKARTA, 18 September – Cadangan penubuhan Majlis Halal ASEAN perlu diterjemahkan kepada tindakan bagi memperkukuh ekosistem halal dan mengurangkan halangan perdagangan antara negara anggota.
- Cadangan pelancaran Majlis Halal ASEAN pada September 2027; Malaysia sebagai setiausaha, Indonesia dicadang pengerusi sulung tertakluk persetujuan negara anggota.
- Majlis bertujuan menyelaras produk, perkhidmatan dan ekosistem halal serta memperluas sokongan kepada rantaian bekalan, taman industri, pembiayaan dan logistik.
- Malaysia dan Indonesia akan bincang penubuhan Majlis Halal Malaysia-Indonesia semasa MIHAS; Majlis ASEAN sebagai asas kepada Majlis Pembangunan Halal Dunia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, majlis berkenaan penting bagi menyelaras produk, perkhidmatan dan ekosistem halal di rantau ASEAN yang mempunyai potensi pasaran besar.
Beliau mencadangkan, Majlis Halal ASEAN dilancarkan pada September 2027 bersempena Bulan Halal Kebangsaan, dengan Malaysia bersedia menjadi sekretariat, manakala Indonesia dicadang menjadi pengerusi sulung tertakluk persetujuan negara anggota.
“Pentingnya Majlis Halal ASEAN ini diwujudkan adalah untuk mengkoordinasikan produk dan juga barang keluaran serta perkhidmatan halal di seluruh rantau ASEAN.
Terdapat banyak pemintaan di kalangan negara-negara ASEAN yang belum menjalin hubungan dengan JAKIM untuk mendapatkan sijil halal. Kita akan selaraskan perkara ini kerana aset pasaran adalah sebesar 800 juta,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Halal 20 (H20) Ke-5 di sini, hari ini.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal berkata, sebagai langkah awal, Malaysia dan Indonesia akan membincangkan penubuhan Majlis Halal Malaysia-Indonesia semasa Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) pada September ini.
Menurutnya, Majlis Halal ASEAN tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pengiktirafan pensijilan halal, sebaliknya perlu membantu syarikat halal mengembangkan perniagaan menerusi akses kepada rantaian bekalan serantau, taman industri halal, pembiayaan, logistik dan pasaran baharu.
Beliau turut melihat penubuhan Majlis Halal ASEAN sebagai antara asas ke arah pembentukan Majlis Pembangunan Halal Dunia bagi memperkukuh struktur ekonomi halal di peringkat global.