Sukan SEA 2027: Persiapan capai 40 peratus, fasiliti siap Mac depan

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol

PUTRAJAYA, 18 September – Persiapan Malaysia bagi Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14 2027 kini mencapai 40 peratus, dengan keseluruhan fasiliti dijangka siap menjelang Mac tahun depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ujian operasi akan dijalankan ke atas semua fasiliti selepas siap bagi memastikan operasi lancar semasa temasya.
  • Kebajikan dan keselesaan atlet diberi keutamaan, semua peserta ditempatkan di hotel bukan kolej atau hostel.
  • Prinsip keterangkuman menumpu kepada keperluan atlet Para, termasuk pengangkutan, penginapan, venue, akses penonton dan liputan media.
  • Promosi Sukan SEA 2027 diperluas seluruh negara melalui program seperti Larian Obor, bermula Jun dengan laluan Perlis hingga Sarawak.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, semua fasiliti yang siap akan menjalani ujian operasi bagi memastikan kemudahan berkenaan berfungsi dengan baik sebelum kedua-dua temasya berlangsung.

“Apabila semua kemudahan siap nanti, kita akan buat test run untuk memastikan setiap fasiliti dapat berfungsi seperti yang sepatutnya dan tiada sebarang masalah ketika temasya berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Peluncuran Sambutan Kiraan Detik Satu Tahun Menuju Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-14 Tahun 2027 di sini, hari ini.

Mordi berkata, aspek kebajikan dan keselesaan atlet turut diberi keutamaan dengan semua peserta akan ditempatkan di hotel sepanjang temasya.

“Dari segi penginapan, atlet akan ditempatkan di hotel dan bukannya di kolej atau hostel. Ini penting bagi memastikan kebajikan dan keselesaan mereka sepanjang berada di sini dapat dijaga dengan sebaiknya,” katanya.

Menurutnya, prinsip keterangkuman turut diberi perhatian dalam penganjuran kedua-dua temasya, khususnya dalam memastikan keperluan atlet Sukan Para ASEAN dipenuhi.

“Ini termasuk dari segi pengangkutan, penginapan, venue, akses penonton dan liputan media supaya tiada pihak yang tercicir,” katanya.

Sementara itu, promosi Sukan SEA 2027 akan diperluas ke seluruh negara menerusi pelbagai program, termasuk Larian Obor yang dijadual bermula Jun tahun depan dengan laluan dari Perlis hingga Sarawak.

Malaysia akan menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-34 dari 18 hingga 29 September 2027 di empat kluster utama, manakala Sukan Para ASEAN ke-14 dijadual berlangsung di Kuala Lumpur dari 17 hingga 23 Oktober 2027.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.