Kejohanan Badminton Allianz Malaysia Super 100: BAM sasar dua gelaran

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 17 September – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyasarkan sekurang-kurangnya dua gelaran pada Kejohanan Badminton Allianz Malaysia Super 100 yang bakal berlangsung di di Iskandar Puteri, Johor, dari 13 hingga 18 Oktober ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • BAM yakin selepas persiapan rapi skuad pelapis dan remaja, namun kejayaan bergantung pada prestasi hari perlawanan dan kesempurnaan semua aspek.
  • Allianz jalin kerjasama jangka panjang dengan BAM, bukan hanya kewangan, malah sediakan program literasi kewangan dan perancangan hidup selepas atlet.
  • Gandingan baharu Kang Khai Xing dan Lok Hong Quan mahu uji keserasian; pendekatan 'step-by-step', fokus persembahan terbaik dan elak kecederaan.

Timbalan Presiden 1 BAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kejohanan, Datuk V. Subramaniam, berkata sasaran itu berdasarkan persiapan rapi yang dilakukan oleh para pemain terutamanya skuad pelapis dan remaja negara

“Semestinya kita harapkan kejuaraan. Bukan satu sahaja, kalau boleh dua sekali. Jurulatih kita sudah persiapkan pemain dengan cukup baik. Tapi semuanya bergantung pada hari perlawanan nanti.

“Kadang-kadang pemain dah hebat, tapi bila masuk gelanggang gaya permainan boleh berbeza sikit. Akhir sekali, semua aspek perlu saling melengkapi,” ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Sean Wang, berkata penglibatan syarikat itu pada edisi keempat kejohanan kali ini merupakan sebahagian daripada kerjasama jangka panjang dengan BAM dan tidak hanya tertumpu kepada aspek kewangan.

“Bagi tajaan, setakat ini cukuplah, Alhamdulillah.

“Cuma jumlahnya saya biasanya tidak dedahkan. Ini perkongsian jangka panjang dengan BAM.

“Seperti yang saya cakap sebelum ini, ia bukan semata-mata pasal wang.” katanya.

Beliau berkata Allianz turut bekerjasama dengan BAM dalam merangka pelbagai program bagi membantu pemain membuat persediaan menghadapi kehidupan selepas bergelar atlet, termasuk dari aspek literasi kewangan dan perancangan masa depan.

Menurutnya, pendekatan sama turut dilaksanakan bersama Majlis Sukan Negara (MSN), khususnya menerusi sokongan Allianz sebagai penaja rasmi atlet para negara.

Dalam pada itu, gandingan baharu beregu lelaki negara, Kang Khai Xing dan Lok Hong Quan, bakal menjadikan kejohanan di Johor Bahru sebagai medan untuk menguji kemampuan dan keserasian masing-masing.

“Saya berasa gembira berpasangan dengan Khai Xing sebab kami memang kawan dan rakan sebilik dah lama.

“Untuk kejohanan ini, saya tak nak fikir terlalu banyak dan hanya mahu memberikan persembahan terbaik,” kata Hong Quan.

Khai Xing pula memilih pendekatan satu perlawanan pada satu masa dengan memberi keutamaan kepada prestasi dan mengelakkan kecederaan.

“Untuk kejohanan akan datang ini, bagi saya kita akan ambil pendekatan ‘step-by-step’.

“Jangan fikir terlalu banyak, dan yang paling penting adalah mengelakkan sebarang kecederaan”, ujarnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.