Peniaga kerugian lebih RM200,000 ditipu pelaburan Kripto

Gambar Hiasan / RTM

KUANTAN, 17 September – Seorang peniaga produk penapis air kerugian lebih RM200,000 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan kripto tidak wujud menerusi Facebook pada Julai lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mula melihat tawaran di Facebook, menekan pautan dan menyertai kumpulan WhatsApp yang mengarahkan pelaburan.
  • Dijanjikan pulangan tinggi melalui paparan aplikasi Uphold dan membuat banyak transaksi atas arahan kumpulan.
  • Akaun Uphold mangsa dibekukan; diminta membayar RM30,000 kononnya cukai untuk menyahbekukan akaun.
  • Polis menyiasat di bawah Seksyen 420, orang ramai dinasihati guna Semak Mule dan hubungi NSRC atau buat laporan polis.

Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob berkata mangsa, lelaki berusia 65 tahun, pada awalnya melihat tawaran pelaburan berkenaan di Facebook sebelum menekan pautan yang diberikan dan menyertai satu kumpulan WhatsApp.

Beliau berkata mangsa kemudian diberikan arahan untuk membuat pelaburan dan dijanjikan pulangan tinggi berdasarkan keuntungan yang dipaparkan menerusi aplikasi Uphold.

“Percaya dengan tawaran tersebut, mangsa telah membuat 53 transaksi dengan jumlah keseluruhan RM218,239.24,” katanya.

Menurut beliau, akaun Uphold milik mangsa kemudiannya dibekukan dan mangsa diminta membayar RM30,000 sebagai cukai bagi tujuan menyahbekukan akaun berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa tidak menerima sebarang pulangan seperti yang dijanjikan dan gagal membuat pengeluaran wang.

Mangsa kemudiannya dimaklumkan ahli keluarganya bahawa skim pelaburan itu disyaki sebagai penipuan sebelum membuat laporan polis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon menerusi platform Semak Mule sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.

Pihaknya turut menggesa mangsa penipuan skim berkenaan untuk segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 atau membuat laporan polis.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.