
KUALA LUMPUR, 16 September – Keyakinan perniagaan Eropah terhadap ASEAN terus melonjak dengan 78 peratus responden tinjauan menjangkakan perdagangan dan pelaburan dalam blok tersebut akan meningkat dalam tempoh lima tahun akan datang.
- Tinjauan EU-ABC: 67% responden memilih ASEAN sebagai destinasi peralihan rantaian bekalan, mengatasi China dan Asia Selatan.
- Syarikat Eropah ke ASEAN kerana pertumbuhan dan potensi; kekal disebabkan persekitaran perdagangan boleh dijangka, telus dan mesra pelabur.
- EU sedang merundingkan FTA dua hala dengan Malaysia, Filipina dan Thailand; tiga rundingan perdagangan sedang berjalan.
- Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN-EU di Manila jadi platform dialog penggubal dasar dan perniagaan, fokus pada tenaga, kewangan inklusif, digital, AI, kesihatan dan pemakanan.
Kesatuan Eropah-Majlis Perniagaan ASEAN (EU-ABC) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa dalam tinjauan sentimen terbaharunya, 67 peratus daripada mereka yang mempertimbangkan peralihan rantaian bekalan memilih ASEAN sebagai destinasi, sekali gus meletakkannya jauh mendahului China dan Asia Selatan.
Pengarah Eksekutifnya, Chris Humphrey berkata syarikat-syarikat Eropah datang ke rantau ini kerana pertumbuhannya dan kekal di sini kerana potensinya; faktor utama mendorong komitmen berterusan mereka adalah jelas iaitu persekitaran perdagangan yang boleh dijangka, telus dan mesra pelabur.
“Tiga rundingan perdagangan sedang berlangsung ketika ini. Kami berharap ia akan menghasilkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) berkualiti tinggi yang memberikan hasil komersial praktikal kepada syarikat-syarikat Eropah dan Asia Tenggara, seperti peningkatan akses pasaran, pengurangan halangan kawal selia, peraturan lebih jelas serta kecekapan kastam lebih baik,” katanya.
Pada masa ini, EU sedang giat merundingkan FTA dua hala dengan Malaysia, Filipina dan Thailand.
Humphrey berkata Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN-EU ke-12 yang akan diadakan di Manila, Filipina pada Selasa depan, merupakan platform tepat untuk dialog terbuka antara penggubal dasar dan komuniti perniagaan, serta peluang ketara bagi kerjasama awam-swasta.
Sidang kemuncak itu diadakan menjelang bulan-bulan terakhir tempoh Pengerusi ASEAN bagi Filipina, yang mengetengahkan kerjasama praktikal sebagai teras agenda serantau.
Perbincangan akan tertumpu kepada empat bidang penting bagi pertumbuhan jangka panjang ASEAN, antaranya ialah peralihan tenaga, keterangkuman kewangan, kesalinghubungan digital dan transformasi kecerdasan buatan serta kesihatan dan pemakanan.
Lebih 200 wakil daripada sektor kerajaan, perniagaan, institusi pembangunan dan komuniti diplomatik dijangka menghadiri sidang kemuncak tersebut, yang dianjurkan bersama oleh EU-ABC dan Dewan Perniagaan Eropah Filipina. – BERNAMA