
YAMAN/ ISTANBUL, 16 September – Pertempuran yang semakin memuncak di pantai barat Yaman menyebabkan lebih 100,000 penduduk terpaksa berpindah, manakala ribuan lagi melarikan diri merentasi Selat Bab el-Mandeb ke Djibouti.
- PBB amat bimbang dengan peningkatan orang awam terjejas; keluarga terpaksa meninggalkan rumah dan operasi kemanusiaan berdepan tekanan semakin meningkat.
- Penyelaras Bantuan Kecemasan PBB meluluskan AS$9 juta daripada Dana Respons Kecemasan untuk menyalurkan bantuan segera kepada keluarga dipindahkan dan komuniti tuan rumah.
- Kerajaan Yaman melaporkan 12,597 keluarga dipindahkan; menteri menggesa bantuan segera termasuk tempat perlindungan, makanan, air bersih dan pembiayaan antarabangsa.
Jurucakap Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric berkata badan dunia itu amat bimbang dengan peningkatan jumlah orang awam yang terjejas, ketika keluarga terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing dalam tempoh singkat dan operasi kemanusiaan berdepan tekanan yang semakin meningkat.
Beliau berkata Penyelaras Bantuan Kecemasan PBB, Tom Fletcher, turut meluluskan peruntukan AS$9 juta daripada Dana Respons Kecemasan PBB bagi menyalurkan bantuan segera kepada keluarga yang dipindahkan serta komuniti yang menempatkan mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan Yaman berkata 12,597 keluarga dipindahkan di enam wilayah susulan peningkatan konflik terbaharu.
Menteri Perancangan dan Kerjasama Antarabangsa Yaman, Mohammed Al-Baqmi berkata keluarga berkenaan kini memerlukan bantuan segera termasuk tempat perlindungan, makanan dan air bersih.
Beliau menggesa masyarakat antarabangsa segera menggerakkan sumber dan menangani kekurangan pembiayaan bagi memastikan keperluan kemanusiaan dapat dipenuhi.
Di Aden, pihak berkuasa tempatan turut menubuhkan sel tindak balas kemanusiaan bagi menilai dan memenuhi keperluan penduduk yang dipindahkan dari kawasan pantai barat dan Taiz.
Sementara itu, PBB menggesa semua pihak dalam konflik memastikan keselamatan orang awam, mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta membenarkan penghantaran bantuan secara selamat dan tanpa halangan.
Yaman sebelum ini menikmati tempoh ketenangan relatif sejak April 2022 selepas bertahun-tahun berdepan konflik antara kerajaan yang disokong gabungan diketuai Arab Saudi dengan kumpulan Houthi yang menguasai ibu negara Sanaa serta kawasan luas negara itu sejak 2014.
Pertempuran terbaharu bagaimanapun meningkatkan kebimbangan konflik berskala besar kembali tercetus di Yaman. – REUTERS/ BERNAMA-ANADOLU