
MALDIVES , 15 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya Suruhanjaya Bersama Malaysia-Maldives diadakan di Kuala Lumpur sebelum akhir tahun ini bagi memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
- Suruhanjaya bersama dianggap platform penting untuk menangani isu belum diselesaikan dan menterjemah hubungan kepada kerjasama yang lebih konkrit.
- Hubungan dua hala perlu dibina atas penghargaan terhadap keperluan dan kekuatan masing-masing serta prinsip saling menghormati dan kepercayaan.
- Lebih 2,000 pelajar Maldives melanjutkan pengajian di Malaysia; isu birokrasi ibu bapa dan bantuan kesihatan akan diselesaikan melalui perbincangan kerajaan.
Beliau berkata, suruhanjaya itu akan menjadi platform penting untuk menangani isu-isu yang masih belum diselesaikan, selain menterjemahkan hubungan erat Malaysia dan Maldives kepada kerjasama yang lebih konkrit.
Hubungan dua hala perlu dibina berasaskan penghargaan yang ikhlas terhadap keperluan dan kekuatan masing-masing selain disokong prinsip saling menghormati dan kepercayaan di peringkat kepimpinan serta antara kedua-dua negara.
“Sehubungan itu, apabila Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu menunjukkan kesungguhan dan komitmen sedemikian, saya mencadangkan supaya Suruhanjaya Bersama Malaysia-Maldives diadakan seawal mungkin, kita juga boleh meneroka kemungkinan untuk mengadakan mesyuarat tersebut.
“Kita akan menjadi tuan rumah di Kuala Lumpur sebelum akhir tahun ini dan ini akan menunjukkan komitmen kita untuk memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu, di Pejabat Presiden di sini, hari ini.
Menurut Perdana Menteri, lebih 2,000 pelajar Maldives kini melanjutkan pengajian di Malaysia sekali gus mencerminkan hubungan persahabatan kedua-dua negara serta keyakinan rakyat Maldives terhadap sistem pendidikan negara.
Berkenaan isu birokrasi membabitkan ibu bapa yang menemani anak mereka belajar di Malaysia, perkara itu sudah dibincangkan bersama rakan-rakan dalam kerajaan untuk diselesaikan pada mesyuarat kabinet akan datang.
Mengenai aspek kesihatan membabitkan sebilangan kecil rakyat Maldives diselesaikan segera dengan bantuan sewajarnya, selaras dengan nilai ihsan dan kepedulian dalam kerangka MADANI.