Pemikiran Za’ba, Hamka kekal relevan bentuk generasi berilmu

Foto Lembaga Muzium Negeri Sembilan

SEREMBAN, 14 September – Pemikiran dua tokoh besar Nusantara, Pendeta Za’ba dan Profesor Dr Hamka kekal relevan dalam membentuk generasi berilmu, mempunyai jati diri tinggi dan berfikiran kritis, terutama ketika berdepan perubahan pendidikan serta cabaran dunia digital.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seminar menekankan perlunya menterjemah nilai Za'ba dan Hamka ke konteks semasa agar terus dekat dengan generasi muda.
  • Penganjuran memperkukuh Negeri Sembilan sebagai pusat pemeliharaan, penyelidikan dan pengembangan warisan budaya serta ekosistem ilmu.
  • Program membuka ruang mengeratkan jaringan intelektual Nusantara serta kerjasama dalam sejarah, bahasa, pendidikan, agama dan kesusasteraan.

Perkara itu antara yang diberi penekanan menerusi Seminar Antarabangsa Pemikiran Za’ba dan Hamka yang berlangsung selama dua hari di sini.

Seminar menghimpunkan hampir 300 peserta terdiri daripada sarjana dan pensyarah universiti di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.

Menerusi program berkenaan, nilai dan pemikiran kedua-dua tokoh ikonik tersebut perlu diterjemahkan mengikut konteks semasa agar terus dekat dengan generasi muda.

EXCO Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Negeri, Datuk Razali Abu Samah berkata penganjurannya turut memperkukuh kedudukan Negeri Sembilan sebagai antara pusat pemeliharaan, penyelidikan dan pengembangan warisan budaya serta intelektual Nusantara.

“Saya mahu melihat Negeri Sembilan berkembang bukan sahaja sebagai negeri yang kaya dengan warisan budaya, tetapi juga mempunyai ekosistem ilmu yang kukuh dan tradisi intelektual yang dihormati.

“Kertas kerja perlu diterbitkan, hasil penyelidikan perlu didokumentasikan dan jaringan sarjana Nusantara perlu terus diperluas,” jelas Datuk Razali yang mewakili Menteri Besar ketika berucap pada majlis perasmian.

Dalam pada itu, menurut Pakar Sejarah Universitas Indonesia, Profesor Susanto Zuhdi,seminar tersebut turut membuka ruang memperkukuh jaringan intelektual Nusantara serta kerjasama dalam bidang sejarah, bahasa, kesusasteraan, pendidikan, agama dan warisan.

“Karakter Islam yang mempertemu Hamka dengan dunia Melayu, jadi kami berharap pada masa hadapan, kerjasama terus dipererat termasuk menganjurkan seminar antarabangsa seperti ini melibatkan Indonesia-Malaysia,” jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.