Bot migran karam di selatan Greece, 25 masih hilang

Pulau Gavdos antara kawasan yang sering menjadi tumpuan migran mendarat di Greece./ Foto fail REUTERS

ATHENS, 14 September – Sekurang-kurangnya 25 masih hilang selepas sebuah bot yang membawa kira-kira 77 migran terbalik dan separuh karam di perairan selatan pulau Gavdos, Greece, pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • 51 warga asing diselamatkan oleh kapal-kapal berhampiran; seorang lagi ditemui tidak sedarkan diri.
  • Operasi mencari dan menyelamat diteruskan berdasarkan keterangan mangsa terselamat.
  • Beberapa kapal termasuk empat kapal berhampiran dan dua kapal Frontex terlibat dalam operasi menyelamat.
  • Pihak berkuasa belum mendedahkan jenis bot atau kewarganegaraan mereka yang berada dalam insiden itu.

Pengawal Pantai Greece berkata, 51 warga asing berjaya diselamatkan oleh kapal-kapal berhampiran, manakala seorang lagi warga asing ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Menurut pihak berkuasa, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan berdasarkan keterangan mangsa yang terselamat, bahawa terdapat 77 orang di atas bot berkenaan.

Empat kapal berhampiran dan dua kapal Agensi Pengawal Sempadan dan Pantai Eropah (Frontex) terbabit dalam operasi menyelamat, manakala sebuah lagi kapal Pengawal Pantai Greece, sebuah kapal Frontex dan sebuah helikopter turut dikerahkan ke lokasi.

Media Greece melaporkan bot tersebut terbalik sebelum karam kira-kira 38 batu nautika (70 kilometer) di selatan Gavdos, sebuah pulau yang terletak di selatan Crete di Laut Libya.

Perairan di selatan Gavdos merupakan antara laluan yang digunakan bot migran untuk menuju ke Greece dari Afrika Utara.

Pihak berkuasa Greece setakat ini belum mendedahkan jenis bot terbabit atau kewarganegaraan mereka yang berada di dalamnya.

Operasi pencarian dan menyelamat diteruskan bagi mengesan mereka yang masih hilang. – REUTERS/ BERNAMA-XINHUA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.