
KUALA LUMPUR, 15 September – Sejarah pembentukan Malaysia diketengahkan menerusi pameran sempena sambutan Hari Malaysia 2026 di Plaza Merdeka, Kuching, Sarawak.
- Pameran dibuka kepada orang ramai dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam dan berlangsung sehingga 16 September.
- Menjelaskan peranan setiap wilayah serta pentingnya meneruskan pembelajaran sejarah kepada generasi muda melalui paparan interaktif.
- Mengandungi 20 paparan dalam lima segmen, termasuk dokumen perjanjian, tokoh penting, dan Galeri Kenegaraan Jejak Identiti Malaysia.
Pameran yang berlangsung sehingga esok, 16 September, itu dibuka kepada orang ramai dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam.
Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Visual dan Seni Reka, Jabatan Penerangan Malaysia, Nor Azli Mohd Nor Azian berkata, pameran berkenaan membantu masyarakat, khususnya generasi muda, memahami perjalanan pembentukan Malaysia serta peranan setiap wilayah.
“Kita mahu sejarah ini terus kekal mendekati generasi kali ini sebab pameran ini sangat penting kerana ia bukan sekadar memaparkan sejarah, tapi ia membantu kita memahami perjalanan menerusi masa, bagaimana setiap wilayah mempunyai tempat dan peranan yang penting dalam pembentukan Malaysia tersebut,” katanya kepada RTM.
Pameran itu menampilkan 20 paparan yang dibahagikan kepada lima segmen, termasuk denai masa pembentukan Malaysia, dokumentasi perjanjian dan watikah, Jawatankuasa Setiausaha Pembentukan Malaysia, tokoh-tokoh penting serta Galeri Kenegaraan Jejak Identiti Malaysia.
Pameran mini turut diadakan di Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Bintulu dan Limbang, selain pameran digital di beberapa lokasi di Semenanjung dan Sabah.
Antara aktiviti yang disediakan ialah kuiz kenegaraan, ‘pocket talk’, aktiviti gambar kreatif, persembahan pentas serta demonstrasi pemulihan dokumen bersejarah.