
KOTA KINABALU, 13 September – Cadangan penambahan kerusi parlimen bukan sekadar melibatkan jumlah kerusi, sebaliknya perlu mengambil kira nisbah perwakilan bagi mencerminkan kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak dalam proses membuat keputusan di parlimen.
- SPR akan menjalankan kajian terperinci sebelum cadangan penambahan kerusi dibentangkan kepada jemaah menteri.
- Kerajaan bersetuju meningkatkan nisbah perwakilan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963.
- Pindaan Perlembagaan diperlukan untuk membolehkan penambahan kerusi dan SPR akan menyemak semula persempadan pilihan raya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, bagi merealisasikan perkara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menjalankan kajian terperinci sebelum cadangan berkenaan dibentangkan kepada jemaah menteri.
“Yang penting ialah perkara yang diputuskan bukan sekadar penambahan bilangan kerusi, tetapi lebih kepada nisbah perwakilan. Maknanya, keseluruhan bilangan kerusi nanti perlu mengambil kira suara rakyat Sabah dan Sarawak dalam proses membuat keputusan besar di Parlimen.
“Itulah objektif utamanya. Bukan sekadar menambah kerusi di Sabah dan Sarawak atau di semenanjung, tetapi memastikan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus diambil kira dalam soal perwakilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program JIWA@Komuniti MADANI Hari Kebangsaan, Hari Malaysia di Kampung Lapasan, Karambunai di sini.
Sebelum ini Perdana Menteri berkata kerajaan bersetuju meningkatkan nisbah perwakilan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak melebihi kadar semasa, selaras dengan semangat MA63.
Menurut Datuk Seri Anwar, keputusan itu turut melibatkan pindaan perlembagaan bagi membolehkan peningkatan penyertaan ahli parlimen dari kedua-dua negeri berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan, suruhanjaya itu akan melaksanakan kajian semula persempadan bahagian-bahagian pilihan raya tertakluk kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Perkara itu dimaklumkan sebagai respons kepada kenyataan Perdana Menteri pada Jumaat lalu berhubung cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak.