Kebakaran feri Filipina: 35 maut, 54 masih hilang

Foto The Philippine Coast Guard (PCG)

CORON, 11 September – Pengawal Pantai Filipina (PCG) menemukan 30 mayat dari feri M/V June Aster yang musnah dalam kebakaran di perairan Palawan.

Jurucakap PCG, Komodor Noemie Cayabyab berkata, masih terdapat mayat lain di dalam kapal berkenaan.

“Pada masa ini, terdapat 30 mayat di atas bot penyelamat yang dijangka tiba esok,” kata Cayabyab.

Gambar yang dikeluarkan PCG menunjukkan deretan beg mayat dipindahkan ke sebuah bot kecil, manakala beberapa anggota memakai sut perlindungan bahan berbahaya.

Kesemua mayat itu dijangka dibawa ke Pelabuhan Borac di Coron pada pagi Sabtu.

PCG sebelum ini melaporkan penemuan beberapa mayat di ruang penginapan kelas ekonomi feri M/V June Aster yang terkandas berhampiran destinasi pelancongan popular Coron, selepas kebakaran berlaku pada Rabu.

Penemuan terbaharu itu menjadikan jumlah kematian yang disahkan dalam kejadian berkenaan meningkat kepada 35 orang.

Seramai 30 penumpang dan 13 anak kapal berjaya diselamatkan, manakala 54 lagi masih belum ditemukan.

Cayabyab sebelum itu memberitahu sebuah stesen radio bahawa kebakaran bermula di ruang kargo sebelum merebak ke seluruh kapal dalam tempoh beberapa saat.

“Berdasarkan keterangan mangsa yang terselamat, selepas mereka terdengar letupan kuat, asap mula kelihatan sebelum api merebak dengan begitu pantas.

“Semuanya berlaku dalam beberapa saat,” katanya sambil menambah bahawa mereka yang berjaya keluar dari kapal tidak sempat memakai jaket keselamatan.

Menurut PCG, senarai penumpang dan anak kapal feri itu menunjukkan terdapat 134 orang, namun dua daripada mereka tidak menaiki feri berkenaan.

Feri itu turut membawa pelbagai barangan, sebuah kenderaan elektrik, sebuah trak pikap dan beberapa motosikal.

Pada Khamis, syarikat pemilik M/V June Aster, Atienza Interisland Ferries Inc memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh dalam siasatan berhubung kejadian. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.